Kisah Rasulullah Membuat Pesanan Kepada Umatnya Sebelum Kewafatan Baginda SAW

TEKS BAHASA ARAB

TEKS BAHASA MALAYSIA

Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. katanya: Rasulullah SAW membuat pesanan kepada kami sebulan sebelum baginda wafat. Apabila tiba saat akhir baginda mengumpulkan kami semua di rumah ibu kami Aisyah r.a. Setelah itu baginda melihat ke arah kami dalam keadaan air mata mengalir di pipinya.

Baginda SAW bersabda: Selamat datang kepada anda semua, mudah-mudahan Allah SWT memanjangkan umur anda, mudah-mudahan Allah merahmati anda sekalian, mudah-mudahan Allah memberi perlindungan kepada anda semua, mudah-mudahan Allah membantu anda semua, mudah-mudahan Allah mengangkat darjat anda semua, mudah-mudahan Allah memanfaatkan anda semua, mudah-mudahan Allah memberi petunjuk kepada anda semua, mudah-mudahan Allah memberi rezeki kepada anda semua, mudah-mudahan Allah memberi taufik kepada anda semua, mudah-mudahan Allah mensejahterakan anda semua, mudah-mudahan Allah menerima amalan anda semua, saya suka berpesan kepada anda sekalian supaya sentiasa bertakwa kepada Allah, saya suka meninggalkan Allah untuk anda semua dan saya menjadikan-Nya sebagai pengganti saya menjaga anda sekalian. Sesungguhnya saya adalah pemberi amaran yang nyata. Jangan sekali-kali anda menunjukkan sifat sombong terhadap hamba-hamba Allah dan negaranya, kerana sesungguhnya Allah SWT telah berfirman kepada saya dan juga kepada anda sekalian.

STATUS

Sanadnya lemah

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Ini adalah hasil kajian Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim and Prof. Madya Dr. Rohaizan bin Baru and Ustaz Abdul Wahid bin Salleh,

Takhrij Hadis

Hadis di atas dikemukakan oleh al-Hakim Abu Abdillah Muhammad bin Abdillah al-Hafiz dalam Al-Mustadrak (jil. 3, hlm. 60) yang menyatakan; Hamzah bin Muhammad bin al-Abbas Al-Uqbi memberitahu kepada saya di Baghdad, katanya Abdullah bin Ruh al-Mada’ini memberitahu kepada saya, Sulaiman bin Salim at-Tawil memberitahu kepada saya, daripada Abdul Malik bin Abdul Rahman daripada al-Hasan al-Arani daripada al-Asy’ath bin Taliq daripada Murrab bin daripada Syarahil. Al-Baihaqi mengeluarkan dalam Dala’il an-Nubuwwah (jil. 7/231-232) daripada gurunya al-Hakim dengan isnadnya seperti di atas.

Penilaian

Jika diperhatikan Isnad al-Baihaqi dengan Isnad syeikhnya al-Hakim, didapati dalam sanad al-Baihaqi terdapat seorang perawi yang bernama Salam bin Salim at-Tawil, sebagai ganti daripada Sulaiman bin Salim at-Tawil. Yang paling sahih ialah Sulaiman at-Tawil. Kemungkinan yang terdapat dalam Al-Mustadrak al-Hakim adalah kesalahan yang berlaku kepada pihak yang menukilkannya.

Setelah mengkaji nama perawi, tidak ditemui perawi yang bernama Sulaiman at-Tawil. Apabila dirujuk kepada Tahzib al-Kamal (8/222/2637) didapati Sulaiman at-Tawil meriwayatkan daripada Abd Malik bin Abd ar-Rahman dan daripada beliau Salam bin Sulaiman at-Thaqafi al-Mada’ini meriwayatkan hadis di atas.

Sesetengah pihak menganggap keadaan ini sebagai tidak ada masalah, namun bagi mereka yang pakar dan mempelajari ilmu usul hadis, mendapati ia satu perkara besar. Ini dapat dilihat melalui kata-kata al-Hafiz Ibn Hajar dalam Al-Taqrib (jil. 1, hlm. 325): Sulaiman bin Salim adalah seorang yang dipercayai dan juga ahli ibadah lapisan ketujuh. Beliau juga menyebut dalam Al-Taqrib (jil. 1, hlm. 342): Sallam bin Salim atau Sallam at-Tawil al-Mada’ini, adalah dari lapisan yang ketujuh dan ditinggalkan hadisnya.

Al-Hakim menyebut dalam Al-Mustadrak (jil. 3, hlm. 60) Abd Malik bin Abd Rahman yang terdapat dalam isnad di atas adalah seorang yang tidak dikenali identitinya. Tidak diketahui sejauh mana keadilan dan kecacatan beliau, manakala perawi-perawi yang lain boleh dipercayai.

Menurut az-Zahabi perawi yang tidak dikenali identiti yang dinyatakan oleh al-Hakim di atas telah dihukumkan sebagai dusta oleh al-Falas. Berhubung dengan kenyataan al-Hakim yang perawi-perawi lain adalah boleh dipercayai, telah dikritik oleh az-Zahabi dengan mengatakan: Begitulah kedudukan riwayat yang mawduk. Semua perawinya adalah boleh dipercayai kecuali seorang sahaja. Kalau Al-Hakim ada perasaan malu, sudah tentu beliau tidak akan mengemukakan perkara ini.

Al-Hafiz, Ibn Hajar juga mengeluarkan kenyataan yang sama dengan Al-Hafiz. Al-Zahabi dalam Al-Lisan (jil. 4, hlm. 78): Perawi terlibat dihukumkan sebagai dusta oleh Al-Falas, manakala Al-Bukhari menyatakan; Beliau meriwayatkan hadis mungkar.

RUJUKAN

Basri bin Ibrahim, Rohaizan bin Baru, & Abdul Wahid bin Salleh. (2015). Kisah-Kisah Lemah Yang Sewajarnya Dilihat Semula Oleh Para Penceramah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah House of Publisher Sdn Bhd.

MAKLUMAN

Hasil penyelidikan ini telah dimasukkan disini melalui Projek 60 Kisah-Kisah Lemah yang biayai oleh para dermawan melalui Tabung Pembangunan Koleksi Hadis, Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja-penaja dan warga tim semakhadis.com. Aamiin!