Kisah Perjalanan Menembusi Hijab pada Malam Israk Mikraj

TEKS BAHASA ARAB

TEKS BAHASA MALAYSIA

Disandarkan kepada Rasulullah SAW baginda dikatakan bersabda: Kemudian saya bergerak ke hadapan, ketika itu saya tidak lagi melihat saudara saya Jibril bersama saya lagi, lalu saya berkata: Wahai saudaraku wahai Jibril. Wajarkah di tempat seumpama ini seseorang kekasih meninggalkan kekasihnya dan saudara meninggalkan saudaranya? Kenapa anda meninggalkan saya dan menjauhkan diri daripada saya. Jibril berseru: Tidak patut saya meninggalkan tuan sama sekali demi Tuhan yang membangkitkan tuan sebagai seorang nabi yang membawa kebenaran. Tidak ada seorang daripada kami melainkan dia mempunyai makam tertentu yang telah ditetapkan untuknya. Jika salah seorang daripada kami mencerobohi makam yang telah ditetapkan untuknya, pasti dia akan terbakar dengan cahaya. Sabda Rasulullah SAW: Apabila dinyatakan kepada saya ungkapan di atas, saya meletakkan kedua tangan di atas muka dan mulai dihantui oleh rasa gerun dan takut yang amat sangat. Jibril telah memeluk saya ke dadanya dengan sayapnya dan berkata: Jangan takut dan jangan berduka cita. Tuhan anda memikrajkan anda untuk memberi ucapan kepada anda, memuliakan anda, memilih anda dan memberikan sesuatu kepada anda.

Apabila Jibril mengucapkan ungkapan tersebut, saya mula rasaringan daripada apa yang saya rasai tadi. Tiba-tiba muncul seruan daripada pihak Allah: Masukkan kekasihku ke dalam cahaya, tiba-tiba datang seorang malaikat yang mempunyai sayap yang berwarna hijau tidak ubah bagaikan kerusi, dia dibawa oleh empat orang malaikat lalu meletakkannya di hadapan saya. Mereka berkata kepada saya: Naiklah wahai Muhammad, lalu saya menaiki sayapnya, lalu dia membawa saya terbang bagaikan anak panah yang keluar daripada busurnya. Ketika saya sedang bertafakur, tiba-tiba saya didatangi oleh rasa hebat terhadap apa yang saya lihat yang melibatkan kebesaran, kesempurnaan, keagungan dan kehebatan Allah. Setelah itu saya diseru: Wahai Ahmad di hadapan anda, dekatkanlah dengan-Ku. Ketika itu saya melangkah satu langkah yang jaraknya melibatkan 500 tahun perjalanan. Ketika itu dikatakan kepada saya: Wahai Ahmad, jangan takut dan jangan berduka cita.

Di kala itu hati saya menjadi tenang tenteram daripada perasaan yang saya rasai. Malaikat yang bersayap hijau itu telah membawa saya terbang tinggi sehingga mendekatkan saya dengan hadrat Tuhan dan tuan saya. Saya melihat perkara yang perkara yang besar yang sedikit pun tidak dicelah oleh keraguan dan mampu dicapai oleh lintasan hati manusia, Maha suci Tuhan yang Maha Tinggi, sesuatu yang tidak pernah terlintas di hati manusia. Saya mendekati Tuhan saya sehingga saya menjadi tidak ubah bagaikan lengkungan anak panah atau lebih dekat lagi daripada itu. Tuhan yang Maha Suci lagi Maha Tinggi telah meletakkan tangan-Nya di antara dua belah bahuku, tetapi tangannya bukan tangan yang dilihat seperti tangan makhluk, bahkan tangan qudrat dan iradat. Di kala itu saya merasa nyaman dalam hati saya.

Di kala itu juga hilang daripada saya segala perasaan takut yang saya rasai. Dia telah mewariskan kepada saya ilmu orang-orang yang awal dan juga ilmu orang-orang yang akhir. Saya dipenuhi dengan perasaan gembira dan sukacita. Pada masa itu saya merasa mantap dan tenang. Saya merasakan segala makhluk yang ada di langit dan segala yang ada di bumi semuanya telah mati kecuali saya. Saya tidak mendengar di sana sebarang pergerakan. Setelah itu akal saya mula kembali ke dalam tubuh saya. Saya mula berfikir tentang kemuliaan besar yang dianugerahkan kepada saya. Lantas saya diseru: Wahai Ahmad, dekatilah-Ku. Saya berkata; Tuhanku, Tuhanku, Engkaulah Tuhan yang Maha Sejahtera dan daripada Engkau datang kesejahteraan. Dia menyeruku buat kali kedua; Dekatilah Aku, lalu saya mendekatinya. Katanya: Dan kepada anda juga kesejahteraan.

Kisah malaikat yang bersayap hijau, penerobosan hujab dan keterbatasan pergerakan Jibril, pada malam Israk dikemukakan oleh Imam Ibn Iraq dalam Tanzih as-Syariah al-Marfu’ah Ani al-Akhbar as-Syani’ah al-Mawdu’ah (jil. 1, hlm. 155: 169) dalam hadis Ibn Abbas yang panjang lebar yang mencecah 375 garisan perkataan dan di dalamnya terdapat tambahan-tambahan yang disandarkan kepada Rasulullah, yang baginda dikatakan bersabda:

“Apabila saya diisrakkan ke Arasy sehingga saya berada bertentangan dengannya tiba-tiba menjelma kepada saya malaikat yang memiliki sayap yang berwarna hijau, yang saya sendiri tidak dapat menceritakan tentang sifatnya kepada anda semua. Jibril mempersilakan saya duduk di situ kemudian beliau berundur sambil meletakkan dua tangannya di atas dua matanya bimbang kalau-kalau matanya disambar oleh kilauan cahaya daripada Arasy Tuhan. Pada masa itu dia mula menangis dengan suara yang tinggi sambil bertasbih kepada Allah dan memujinya serta menyanjung-Nya.”

Malaikat yang memiliki sayap hijau itu telah mengangkat saya dengan izin Allah dan rahmat-Nya kepada saya dan juga kesempurnaan nikmat-Nya terhadap saya kepada dekat dengan Tuhan yang menguasai Arasy, kepada satu perkara besar yang tidak mampu diperkatakan oleh lidah-lidah dan tidak mampu dicapai oleh ilustrasi manusia. Saya melihat kepada-Nya ketika dia menyingkapkan hijab-hijab daripada-Nya, sambil beristiwa’ di atas Arasy dengan penuh kehebatan, kemuliaan, dan ketinggian. Kehebatannya telah cenderung kepada saya dengan beberapa terapat dalam firman Allah SWT:

ذُو مِرَّةٍ فَاسْتَوَى (6) وَهُوَ بِالْأُفُقِ الْأَعْلَى (7) ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّى (8) فَكَانَ قَابَ قَوْسَيْنِ أَوْ أَدْنَى (9)

Ertinya:

“Lagi yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian ia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal, sedang ia berada di arah yang tinggi (di langit); Kemudian ia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad), lalu ia terjuntai sedikit demi sedikit, sehingga menjadilah jarak (di antaranya dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busaran panah, atau lebih dekat lagi.”

(An-Najm: 53: 6-9)

Dia telah mendekatkan diri-Nya kepada saya dengan kadar antara dua hujung busur panah.

Apabila kehebatan-Nya menyelubungi diri saya, Dia telah meletakkan salah satu daripada tangan-Nya di antara dua bahu saya. Di kala itu saya merasai kesejukan jari-jemarinya ke atas hati saya dan juga merasai kemanisannya, keelokan baunya dan keheningan kelazatannya, malah kemuliaan melihat-Nya. Pada saat itu saya beranggapan segala yang ada di muka bumi semuanya telah mati.

STATUS

Maudu’

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Ini adalah hasil kajian Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim and Prof. Madya Dr. Rohaizan bin Baru and Ustaz Abdul Wahid bin Salleh,

Hadis yang memuatkan kisah di atas dikeluarkan oleh Ibn Mardawaih dalam tafsirnya daripada hadis Ibn Abbas menerusi jalan Maisarah bin Abd Rabbihi. Begitulah yang disebutkan dalam Tanzih as-Syariah al-Marfua’h (jil. 1, hlm. 169). Juga dikeluarkan oleh Ibn Hibban dalam Al-Majruhin (jil. 3, hlm. 11), katanya: Muhammad bin Basyrdut al-Niswi memberitahu kepada kami, katanya, Hamid bin Zinjawaih memberitahu kepada kami, katanya: Muhammad bin Abi Khidasy al-Mushili memberitahu kepada kami, katanya: Ali bin Qutaibah bin Maisarah bin Abd Rabbih memberitahu kepada kami, katanya, Umar bin Sulaiman al-Dimasyqi memberitahu kepada kami daripada ad-Dahhak bin Muzahim daripada Ibn Abbas secara marfuk.

Ibn Hibban menyebut dalam Al-Majruhin (jil. 3, hlm. 11) penyakit yang terdapat dalam hadis di atas, katanya: Maisarah bin Abd Rabbih al-Farisi adalah dari kalangan penduduk Dawraq. Beliau termasuk ke dalam perawi yang meriwayatkan berbagai-bagai hadis mawduk daripada perawi yang dipercayai. Beliau juga mereka hadis-hadis Mu’dal daripada perawi yang dipercayai dalam usaha menggalakkan orang ramai melakukan kebaikan dan menjauhkan mereka daripada melakukan keburukan. Tidak halal menulis hadisnya kecuali dalam bentuk mengambil iktibar sahaja. Ibn Hibban sendiri tidak mahu menyebut hadis tersebut secara panjang lebar kerana ia merupakan hadis yang masyhur di sisi pakar-pakar hadis sebagai hadis yang tidak sahih.

Imam al-Bukhari mengemukakan dalam Ad-Du’afak as-Saghir (biodata no: 355), Maisarah bin Abdul Rabbihi dituduh berdusta, malah menurut an-Nasa’i dalam Ad-Du’afak Wa al-Matrukin (terjemahan no: 580). Maisarah bin Abdul Rabbihi, adalah seorang yang ditinggalkan hadisnya. Ia juga dinilai dengan nilaian yang sama yang dilakukan oleh ad-Daraqutni dalam Ad-Du’afak Wa al-Matrukin.

Imam az-Zahabi mengemukakan penyakit lain terhadap hadis di atas dalam Al-Mizan (3/202/6129). Beliau menyatakan Umar bin Sulaiman meriwayatkan daripada ad-Dahhak. Kemudian beliau menyebut hadis Israk dengan lafaz yang maudu’.

RUJUKAN

Basri bin Ibrahim, Rohaizan bin Baru, & Abdul Wahid bin Salleh. (2015). Kisah-Kisah Lemah Yang Sewajarnya Dilihat Semula Oleh Para Penceramah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah House of Publisher Sdn Bhd.

MAKLUMAN

Hasil penyelidikan ini telah dimasukkan disini melalui Projek 60 Kisah-Kisah Lemah yang biayai oleh para dermawan melalui Tabung Pembangunan Koleksi Hadis, Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja-penaja dan warga tim semakhadis.com. Aamiin!

Mohon laporkan kepada kami (admin@semakhadis.com) jika terdapat sebarang kesilapan.