Kisah Nabi Muhammad dan kucing peliharaannya Mueeza

Kisah Nabi Muhammad dan kucing peliharaannya Mueeza, diceritakan dalam suatu kisah, Nabi Muhammad SAW memiliki seekor kucing yang diberi nama Mueeza.

Setiap hari Nabi akan menerima tamu di rumah, baginda selalu mengendong Mueeza dan diletakkan di atas pahanya. Salah satu sifat Mueeza yang paling Nabi sukai ialah, Mueeza selalu mengiau ketika mendengar azan seolah-olah ngiaunya seperti mengikuti laungan azan. Nabi juga berpesan untuk menyayangi kucing peliharaan layaknya menyayangi keluarga sendiri.

Suatu saat, dikala nabi hendak mengambil jubahnya, di temuinya Mueeza sedang terlelap tidur dengan santai diatas jubahnya. Tak ingin mengganggu haiwan kesayangannya itu, nabi pun memotong belahan lengan yang ditiduri Mueeza dari jubahnya. Ketika Nabi kembali ke rumah, Muezza terbangun dan merunduk kepada nabi. Sebagai balasan, nabi menyatakan kasih sayangnya dengan mengelus lembut ke badan munggil kucing itu.

Semakan Tim Semak Hadis

Kami menemui soal jawab Ustaz Kamilin Jamilin. Berikut adalah jawapan beliau apabila ditanya tentang kisah tersebut:

Nama kucing Rasulullah SAW dan kisah tersebut sangat popular dan tersebar luas di kalangan masyarakat malah di luar negara. Namun kedua-duanya tiada sanadnya serta tidak ditemui sumber rekodnya dari karya-karya hadis yang muktabar. Maka riwayat kisah tersebut tidak sahih, tiada asalnya dan tidak boleh disandarkan kepada Nabi SAW.

Saya hanya menemui kisah seakannya pada biografi Abu al-‘Abbas Ahmad bin ‘Aliy al-Rifa’iy yang wafat pada tahun 578h dalam Siyar A’lam al-Nubala’ dan Tarikh al-Islam oleh al-Dzahabiy yang menukilkan kisah seekor kucing yang dikatakan pernah tidur di atas bahagian baju syeikh Ahmad al-Rifa’iy tersebut, kemudian kedengaran iqamah solat, maka syeikh al-Rifa’iy memotong bahagian baju tersebut untuk ke masjid tanpa mengganggu kucing yang sedang tidur. Ketika beliau pulang dari solat, beliau mendapati kucing tersebut telah bangun, lalu beliau menjahit dan menyambungkan semula bahagian yang telah dipotong tadi.
Wallahu a’lam.

Sumber: #QAUstazKamilinJamilin #‎ManahijMuhaddithin