Kisah Mimpi Aminah

TEKS BAHASA ARAB

TEKS BAHASA MALAYSIA

Aminah menyatakan: Ketika kandungan saya berumur enam bulan, datang satu makhluk, lalu menggerakkan saya dengan kakinya di dalam mimpi, seraya berkata: Wahai Aminah, puan sedang mengandungkan sebaik-baik makhluk yang terdapat di muka bumi. Apabila melahirkannya, puan namakanlah dia Muhammad.

Aminah menceritakan semasa beliau berada dalam nifasnya: Saya didatangi oleh rasa sakit untuk melahirkan anak sebagaimana perempuan-perempuan mengandung yang lain merasainya dan tidak ada seorang pun dari kalangan masyarakat saya mengetahuinya. Saya mendengar satu perkara besar yang menimbulkan rasa gerun kepada saya. Saya melihat seolah-olah sayap burung putih telah menyapu hati saya, lalu hilang rasa gerun tadi dan segala rasa sakit yang saya alami semasa hendak melahirkan anak itu hilang. Kemudian saya berpaling tiba-tiba saya dapati ada satu gelas susu yang bersih.

Pada masa itu saya merasa sangat dahaga lantas saya mengambil air itu lalu minum. Tiba-tiba keluar daripada diri saya cahaya yang tinggi. Kemudian saya melihat para perempuan yang tingginya tidak ubah bagaikan pokok tamar yang tinggi, seolah-olah mereka dari kalangan anak-anak perempuan Abd Manaf yang mengelilingi saya.

Ketika taajub begitu, tiba-tiba satu sutera berwarna putih terhampar di antara langit dengan bumi dan tiba-tiba seseorang mengatakan: Tutuplah dia (Muhammad) daripada pandangan orang ramai. Kata Aminah: Saya melihat beberapa orang lelaki berada di udara, pada tangan-tangan mereka terdapat kendi perak. Saya melihat sekumpulan burung datang daripada jauh lalu menutup ribaku, paruh-paruhnya daripada batu permata Zamrud, manakala sayap-sayapnya daripada batu-batu permata Yaqut.

Kemudian Allah membuka mata saya dan pada masa itu saya melihat kawasan timur bumi dan kawasan baratnya. Saya melihat tiga panji-panji berkibar. Satu di timur, satu di barat dan satu lagi di atas Kaabah. Pada masa itu saya mengalami rasa sakit hendak melahirkan anak, lalu saya melahirkan Muhammad SAW. Apabila beliau keluar daripada perut saya, saya menoleh ke arahnya dan mendapati dia sedang sujud sambil mengangkat kedua tangannya.

Kemudian saya melihat satu kumpulan awan putih datang daripada langit lalu melindunginya dan hilang daripada pandangan saya. Ketika itu saya mendengar satu seruan: Bawalah Muhammad di sekeliling timur dan barat dan masukkan dia ke dalam laut, agar segala makhluk mengenali namanya, sifatnya dan juga rupanya.

STATUS

Munkar

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Ini adalah hasil kajian Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim and Prof. Madya Dr. Rohaizan bin Baru and Ustaz Abdul Wahid bin Salleh,

Takhrij Hadis

Hadis di atas dikeluarkan oleh Abu Nu’aim daripada hadis Ibn Abbas r.a., sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam as-Suyuti dalam Al-Khasa’is al-Kubra (jil. 1, hlm. 81) kemudian beliau mengatakan: Athar ini dan dua athar sebelumnya mengandungi mungkar (An-Nakarah) yang teruk dan saya tidak memasukkan ke dalam buku saya ini hadis yang sangat mungkar selain daripada hadis ini. Saya sendiri merasa kurang selesa untuk berbuat demikian tetapi saya hanya mengikut jejak yang dilakukan oleh Abu Nu’aim sahaja.

Sebenarnya hadis di atas merupakan salah satu daripada tiga buah hadis yang sangat mungkar yang dinyatakan oleh Imam as-Suyuti. Kebiasaannya ia dibaca oleh para penceramah bersempena dengan sambutan mawlid Nabi SAW dan dijadikan hujah oleh mereka bagi mengharuskan sambutan tersebut diadakan.

RUJUKAN

Basri bin Ibrahim, Rohaizan bin Baru, & Abdul Wahid bin Salleh. (2015). Kisah-Kisah Lemah Yang Sewajarnya Dilihat Semula Oleh Para Penceramah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah House of Publisher Sdn Bhd.

MAKLUMAN

Hasil penyelidikan ini telah dimasukkan disini melalui Projek 60 Kisah-Kisah Lemah yang biayai oleh para dermawan melalui Tabung Pembangunan Koleksi Hadis, Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja-penaja dan warga tim semakhadis.com. Aamiin!