Kisah Lelaki al-Ansari dan at-Thaqafi Bertanya Rasulullah SAW tentang Kelebihan Haji

TEKS BAHASA ARAB

TEKS BAHASA MALAYSIA

Daripada Ibn Umar r.a., katanya:

Saya pernah duduk di samping Rasulullah SAW di Masjid Mina, tiba-tiba datang seorang lelaki Ansar dan seorang lelaki lagi daripada Bani Thaqif dan keduanya memberi salam kepada Baginda SAW dan seterusnya berkata: Wahai Rasulullah kami datang untuk bertanya kepada tuan. Rasulullah SAW bersabda: Jika anda berdua kehendaki, saya akan beritahu apa hajat yang mendorong anda berdua menemui saya dan jika anda berdua ingin agar saya  tidak memberitahunya saya akan lakukannya. Lalu mereka berdua berkata; Beritahulah Wahai Rasulullah. Lelaki daripada Bani Thaqif menyatakan kepada lelaki dari kalangan Ansar, tanyalah. Kata lelaki Ansar itu; Beritahulah kepada saya Wahai Rasulullah.

Rasulullah SAW bersabda: Anda datang untuk bertanya saya tentang tempat keluar anda daripada rumah anda lalu ke Baitullah al-Haram dan apakah ganjaran yang patut anda terima? Tentang dua raakat selepas tawaf dan apakah ganjaran pahala yang patut anda terima daripada keduanya? Tentang tawaf anda di Safa dan Marwah, apakah ganjaran pahala yang hendak anda perolehi? Tentang sembelihan anda, apakah pahala yang berhak anda nikmati daripada-Nya? Tentang mencukur kepala, apakah pahala yang berhak anda nikmati? Tentang tawaf di Baitullah selepas itu apa yang hendak anda perolehi di samping tawaf ifadah? Jawab lelaki itu; Demi Tuhan yang mengutuskan tuan dengan kebenaran, untuk bertanya perkara tersebut semualah, saya datang ke mari.

Sabda Baginda: Apabila anda keluar daripada rumah lalu menuju ke Baitullah al-Haram, anda tidak mengarahkan unta anda itu duduk mahupun berjalan melainkan Allah tuliskan untu anda satu kebajikan dan menghapuskan daripada anda satu kesalahan. Berhubung dua rakaat solat Tawaf yang anda lakukan selepas Tawaf pahalanya tidak ubah bagaikan memerdekakan seorang hamba daripada kalangan anak cucu Ismail. Berhubung dengan Sai anda di Safa dan Marwah selepas itu, pahalanya tidak ubah bagaikan memerdekakan 70 orang hamba.

Berhubung dengan wuquf yang anda lakukan di Arafah, Allah SWT turun ke langit dunia lalu berbangga dengan apa yang anda lakukan di hadapan para malaikat-Nya. Dia berfirman: Wahai hamba-hamba-ku, kamu semua datang menemuiku dalam keadaan kusut masai daripada setiap pelusuk yang jauh dengan mengharapkan syurga-ku. Seandainya dosa-dosa kamu sebanyak bilangan pasir atau titisan air hujan atau buih di laut, nescaya aku akan mengampunkannya. Tawaf hamba-hamba-ku adalah dalam keadaan diampunkan dosa-dosa anda dan orang-orang yang anda syafaatkan untuknya. Berhubung dengan melontar Jamrah, Setiap anak batu yang anda gunakan untuk melontar itu, akan menghapuskan satu dosa besar.

Berhubung dengan sembelihan yang anda lakukan itu, pahalanya akan disimpan di sisi Tuhan anda. Berhubung dengan mencukur yang anda lakukan itu, setiap rambut yang anda cukur itu akan mengundang satu kebaikan dan dihapuskan satu kesalahan. Berhubung dengan tawaf anda di Baitullah al-Haram selepas itu, anda tidak akan memiliki sebarang dosa lagi. Seorang malaikat akan datang lalu meletakkan kedua tangannya di antara dua bahu anda seraya berkata: Buatlah apa yang hendak anda lakukan, Allah SWT telah mengampunkan dosa anda yang lalu.

STATUS

Tidak sahih

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Ini adalah petikan hasil kajian Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim and Prof. Madya Dr. Rohaizan bin Baru and Ustaz Abdul Wahid bin Salleh,

Kisah di atas mayhur diperkatakan oleh para penceramah dan pengkuliah terutama sekali di negara-negara Arab lantaran ia disebutkan dalam At-Targhib wa At-Tarhib (jil. 2, hlm. 170) dan kitab Wasaya al-Rasul.

Kisah di atas sebenarnya tidak sahih. Ia melibatkan tiga jalan riwayat. Jalan riwayat yang paling tinggi sekali ialah kisah yang berdasarkan kepada hadis Ibn Umar dan hadis ini melibatkan dua jalan.

Pertama menerusi jalan perawi al-Bazzar. Al-Bazzar mengeluarkannya dalam Musnadnya sebagaimana di dalam Kasyf al-Astar (jil. 2, hlm. ) (hadis no: 1082).

Kedua menerusi jalan perawi at-Tabrani, yang mengeluarkannya dalam Al-Muʼjam al-Kabir (jil. 12, hlm. 425).

Kisah menerusi jalan yang kedua adalah menerusi hadis riwayat Anas bin Malik. Hadis ini dikeluarkan oleh al-Bazzar sebagaimana dalam Kasyf al-Astar Min Zawaʼid al-Bazzar ʻAla al-Kutub as-Sittah (jil. 2, hlm. 9) (hadis no: 1083).

Kisah menerusi jalan ketiga adalah berdasarkan kepada hadis Ubadah bin al-Samit, yang dikeluarkan oleh at-Tabrani dalam Al-Muʼjam al-Awsat (jil. 3, hlm. 170) (hadis no: 2341).

  1. Bukti yang Menunjukkan Kisah di Atas Tidak Sahih

Kisah menerusi hadis riwayat Ibn Umar melibatkan dua sanad. Pertama sanad al-Bazzar sebagaimana yang dinyatakan di atas. Al-Bazzar menyatakan; Muhammad bin Umar bin Hayyaj memberitahu kepada kami, katanya, Yahya bin Abd ar-Rahman memberitahu kepada kami, katanya Ubaidah bin al-Aswad memberitahu kepada  kami daripada Sinan bin al-Harith daripada Talhah bin Musarrif daripada Mujahid daripada Ibn Umar, setelah itu beliau menyebut kisah di atas.

Sanad ini adalah lemah, kerana mengandungi dua jenis penyakit: Pertama: Pendustaan yang dilakukan oleh Ubaidah bin al-Aswad. Al-Hafiz Ibn Hajar mengemukakannya dalam Tabaqat al-Mudalissin dalam Al-Martabat at-Thalithah (no: 20). Antara lain beliau mengatakan: Perawi yang banyak terlibat dengan tadlis. Imam-imam ahli hadis tidak berhujah dengan hadis-hadis riwayat mereka kecuali yang mereka jelaskan adanya As-Samaʼ. As-Simaʼ di sini membawa maksud perawi mengatakan: “Saya telah mendengar, telah memberitahu kami, telah berkata kepada kami” dan seumpamanya. Tidak menjelaskan adanya As-Samaʼ pula ialah perawi hanya menggunakan ungkapan ʺعن” (daripada) dan seumpamanya sebagaimana yang terdapat dalam sanad di atas.

Sebagaimana para mudalisin melibatkan beberapa tahap, begitu juga dengan jenis tadlis yang dilakukan, juga melibatkan beberapa jenis sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab Al-Madkhal Ila ʻUlum al-Hadis.

RUJUKAN

Basri bin Ibrahim, Rohaizan bin Baru, & Abdul Wahid bin Salleh. (2015). Kisah-Kisah Lemah Yang Sewajarnya Dilihat Semula Oleh Para Penceramah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah House of Publisher Sdn Bhd.

MAKLUMAN

Hasil penyelidikan ini telah dimasukkan disini melalui Projek 60 Kisah-Kisah Lemah yang biayai oleh para dermawan melalui Tabung Pembangunan Koleksi Hadis, Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja-penaja dan warga tim semakhadis.com. Aamiin!