Kisah Kunci Berinteraksi Dengan Jin

TEKS BAHASA ARAB

TEKS BAHASA MALAYSIA

Hadis kunci berinteraksi dengan jin diriwayatkan menerusi Abu Laila, katanya:

Saya pernah duduk berhampiran dengan Nabi SAW tiba-tiba datang seorang Arab pedalaman lalu berkata; Saya mempunyai seorang saudara yang terkena satu penyakit?

Sabda Rasulullah SAW: Apakah penyakit yang menimpa saudara anda itu.

Jawab lelaki itu: Dia terkena gangguan jin.

Sabda Rasulullah: Pergilah dan bawa lelaki itu kepada saya,

lalu lelaki itu beredar dan tidak lama kemudian membawa saudaranya yang diganggu oleh jin itu dan meminta beliau duduk di hadapan Rasulullah SAW. Di kala itu saya mendengar baginda menjampi dengan membaca al-Fatihah, empat ayat daripada surah al-Baqarah, dua ayat di pertengahannya iaitu bermula dengan ayat 163, ayat kursi, tiga ayat yang merupakan penutup kepada surah al-Baqarah, satu ayat daripada surah Ali Imran iaitu ayat 18, satu ayat daripada surah al-Mukminun iaitu ayat 117, satu ayat daripada surah al-Jin iaitu ayat 3, 10 ayat daripada surah as-Saffat iaitu daripada awal sehingga ke ayat yang ke 10, tiga ayat pada akhir surah al-Hasyr, surah al-Ikhlas dan al-Muawwizatain.

Setelah itu lelaki tersebut bangun dan sembuh daripada penyakit yang dialaminya seolah-olah tidak terkena apa-apa penyakit sebelumnya.

STATUS

Sangat lemah

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Ini adalah petikan hasil kajian Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim and Prof. Madya Dr. Rohaizan bin Baru and Ustaz Abdul Wahid bin Salleh,

Kisah yang terdapat dalam bentuk riwayat  di atas sebenarnya adalah kisah yang sangat lemah dan hadis yang berkaitan dengannya pula adalah sebuah hadis mungkar, kerana penyakit berikut:

  1. Isnadnya Kacau (Idtirab)

Jika dilihat kepada riwayat daripada Ibn Majah, ia diriwayatkan menerusi jalan Abu al-Janab daripada Abd ar-Rahman bin Abi Laila daripada bapanya Abu Laila.

Jika dilihat kepada riwayat Abu Yaʼla dan daripadanya diriwayatkan pula oleh Ibn as-Sunni, ia diriwayatkan menerusi Abu al-Janab daripada Abd ar-Rahman bin Abi Laila daripada seorang lelaki daripada bapanya.

Jika dilihat kepada riwayat al-Hakim dan Ibn al-Jawzi, ia diriwayatkan menerusi Abu al-Janab daripada Abdullah bin Isa daripada Abd ar-Rahman bin Abi Laila, katanya: Ubai bin Kaʼab menceritakan kepada saya.

  1. Bentuk-Bentuk kekacauan

Ada di kalangan ahli hadis yang menyatakan hadis tersebut berasal daripada sanad Abu Laila, manakala sebahagian lagi menyatakan ia berasal daripada sanad Ubai bin Kaʼab.

Ada dalam kalangan ahli hadis yang menyatakan hadis tersebut daripada riwayat Abu al-Janab daripada Abd ar-Rahman bin Abi Laila dan ada juga di antara mereka yang menyatakan hadis tersebut adalah daripada riwayat Abdullah bin Isa daripada Abd ar-Rahman bin Abi Laila. Inilah yang dikatakan sebagai bentuk-bentuk kekacauan yang terdapat dalam hadis yang mengandungi kisah di atas. Ia tidak diriwayatkan melalui jalan Abu al-Janab dan tidak ada yang menyokong dan menguatkannya.

  1. Kedudukan Kekacauan

Riwayat di atas mengandungi bentuk-bentuk kekacauan iaitu:

  1. Wujud perbezaan riwayat hadis yang mana perbezaan tersebut tidak dapat dikumpulkan sekali gus.
  2. Persamaan berbagai-bagai riwayat dari segi kekuatan di mana tidak mungkin dapat dipilih satu riwayat mengatasi riwayat yang lain dan perkara ini jelas, kerana ia datang menerusi jalan Abu al-Janab.

Hadis kacau (Mudtarib) adalah hadis yang diriwayatkan melalui jalan yang saling berdekatan, sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam an-Nawawi dalam Al-Taqrib (jil. 1, hlm. 267).

Al-Hafiz Ibn Hajar  menyatakan dalam syarah Al-Nukhbah (hlm. 43); Sekiranya percanggahan itu berlaku dengan sebab pertukaran perawi dan tidak ada penyokong mahupun penguat kepada salah satu riwayat hadis itu yang boleh dipilih mengatasi hadis yang satu lagi, ia dinamakan sebagai hadis Mudtarib dan ia kebiasaannya berlaku pada isnad hadis.

  1. Penyakit Asasi dalam Hadis di atas

Penyakit asasi dalam hadis di atas sebenarnya melebihi daripada kekacauan iaitu penyakit yang terdapat pada tubuh badan Abu al-Janab itu sendiri.

  1. Al-Uqaili menyebut dalam Ad-Duʼafak al-Kabir (jil. 4, hlm. 398), katanya: Yahya bin Abu Hayyah Abu Janab al-kalbi. Kemudian dikeluarkan dengan sanadnya daripada Abu Nuʼaim, yang beliau seorang yang melakukan pendustaan. Imam Ahmad menyatakan hadis-hadis riwayat beliau adalah hadis-hadis yang mungkar. Setelah itu beliau mengemukakan satu riwayat dan kemudian berkata: Riwayat dalam bab ini terdapat di dalamnya kacau dan lemah.
  2. Al-Zahabi mengemukakan dalam Al-Mizan (jil.4, hlm. 371), katanya: Yahya al-Qattan menyatakan: Saya tidak menghalalkan seseorang meriwayatkan hadis daripada beliau. Kata al-Fallas: Beliau seorang yang ditinggalkan orang.
  3. Ibn Adi mengeluarkan dalam Al-Kamil (jil. 7, hlm. 212) katanya: Amru bin Ali menyatakan: Abu Janab al-Kufi, namanya ialah Yahya bin Abu Yahya Hayyah, seorang yang ditinggalkan hadisnya.
  4. Al-Daraqutni mengemukakan dalam Al-Duʼafaʼ wa al-Matrukin, katanya: Yahya bin Abu Hayyah Abu Janab al-Kalbi. Beliau seorang yang ditinggalkan hadisnya, meskipun beliau tidak menyebut sesuatu mengenainya. Dalam Al-Muqaddimah menjelaskan: Al-Imam al-Barqani menyatakan: Berlaku dialog yang panjang dengan Ibn Hamkan terhadap Abu al-Hasan Ali bin Umar ad-Daraqutni, mudah-mudahan Allah memaafkan saya dan juga beliau dalam ad-Matrukin daripada kalangan golongan ahli hadis. Akhirnya kami telah memutuskan untuk meninggalkan orang yang telah ditetapkan oleh beliau berdasarkan huruf Muʼjam dalam kertas ini. Dengan itu tidak timbul lagi ad-Daraqutni mengambil sikap mendiamkan diri terhadap Yahya bin Abu Hayyah Abu Janab al-Kalbi.
  5. Ibn Hibban mengemukakan dalam Al-Majruhin (jil. 3, hlm. 111), katanya: Beliau termasuk dalam kalangan orang yang melakukan pendustaan di atas nama perawi-perawi yang dipercayai, menerusi hadis-hadis yang beliau dengar daripada perawi-perawi yang lemah. Dengan itu timbul hadis-hadis yang mungkar yang diriwayatkan di atas nama perawi yang masyhur. Kerana itu Yahya bin Said al-Qattan menghukum beliau sebagai sangat lemah. Begitu juga dengan Imam Ahmad telah mengemukakan bantahan keras terhadap beliau.
  6. Tidak perlu terpedaya dengan ulasan al-Hakim menyatakan dalam Al-Mustadrak: ʺHadis ini terpelihara lagi sahih tetapi al-Bukhari dan Muslim tidak mengeluarkannya. ʺKerana az-Zahabi membuat komen dalam At-Talkhis dengan menyatakan antara lain: Abu Janab al-Kalbi telah dinilai sebagai lemah oleh ad-Daraqutni dan hadis di atas itu adalah hadis mungkar.

RUJUKAN

Basri bin Ibrahim, Rohaizan bin Baru, & Abdul Wahid bin Salleh. (2015). Kisah-Kisah Lemah Yang Sewajarnya Dilihat Semula Oleh Para Penceramah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah House of Publisher Sdn Bhd.

MAKLUMAN

Hasil penyelidikan ini telah dimasukkan disini melalui Projek 60 Kisah-Kisah Lemah yang biayai oleh para dermawan melalui Tabung Pembangunan Koleksi Hadis, Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja-penaja dan warga tim semakhadis.com. Aamiin!