Kisah Kewujudan Sarang Labah-Labah dan Dua Ekor Burung Merpati di Mulut Gua

TEKS BAHASA ARAB

TEKS BAHASA MALAYSIA

Pada malam Rasulullah SAW masuk ke dalam gua Thur,  Allah Azza Wajalla memerintahkan sepohon pokok datang melindungi Rasulullah. Kemudian setelah itu Allah SWT mengutuskan labah-labah untuk membuat sarang di mulut gua sehingga melindungi Rasulullah SAW daripada dilihat oleh musuh. Allah SWT juga memerintahkan dua ekor burung merpati liar membuat sarang di antara labah-labah dengan pokok tersebut. Para pemuda Quraisy keluar daripada setiap lembah, setiap orang membawa tongkat, pedang dan peralatan lain sehingga mereka berada lebih kurang 40 hasta. Sebahagian daripada mereka segera melihat kepada mulut gua dan mendapati dua ekor burung merpati membuat sarang pada mulut gua itu, lantas lelaki itu pulang menemui rakan-rakannya. Rakan-rakannya berkata: Kenapa anda tidak melihat ke dalam gua? Jawab pemuda itu; Saya melihat ada dua ekor burung merpati membuat sarang di pintu gua itu dan kerana itu saya yakin tidak ada seorang pun yang memasuki gua tersebut.Nabi SAW mendengar perbualan pemuda itu dan dengan itu baginda tahu yang Allah telah menyelamatkan mereka berdua dengan sebab dua ekor burung merpati tersebut. Nabi mendoakan keberkatan kepada ekor burung merpati tersebut. Baginda mengambil dua ekor anak burung merpati tersebut daripada Baitullah al-Haram

STATUS

Tidak sahih

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Ini adalah hasil kajian Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim and Prof. Madya Dr. Rohaizan bin Baru and Ustaz Abdul Wahid bin Salleh,

Antara kisah yang masyhur diperkatakan oleh para penceramah agama terutama sekali pasa musim sambutan Ma’al Hijrah di masjid-masjid dan surau-surau ialah kisah hijrah Rasulullah SAW daripada Mekah menuju ke Madinah dan penglibatan binatang-binatang dalam menjayakan program hijrah tersebut termasuklah labah-labah dan juga burung merpati.

Kisah tersebut sebenarnya berdasarkan kepada hadis Zaid bin Arqam, al-Mughirah bin Syubah dan juga Anas bin Malik. Pada malam Rasulullah SAW masuk ke dalam gua Thur,  Allah Azza Wajalla memerintahkan sepohon pokok datang melindungi Rasulullah. Kemudian setelah itu Allah SWT mengutuskan labah-labah untuk membuat sarang di mulut gua sehingga melindungi Rasulullah SAW daripada dilihat oleh musuh. Allah SWT juga memerintahkan dua ekor burung merpati liar membuat sarang di antara labah-labah dengan pokok tersebut. Para pemuda Quraisy keluar daripada setiap lembah, setiap orang membawa tongkat, pedang dan peralatan lain sehingga mereka berada lebih kurang 40 hasta. Sebahagian daripada mereka segera melihat kepada mulut gua dan mendapati dua ekor burung merpati membuat sarang pada mulut gua itu, lantas lelaki itu pulang menemui rakan-rakannya. Rakan-rakannya berkata: Kenapa anda tidak melihat ke dalam gua? Jawab pemuda itu; Saya melihat ada dua ekor burung merpati membuat sarang di pintu gua itu dan kerana itu saya yakin tidak ada seorang pun yang memasuki gua tersebut.Nabi SAW mendengar perbualan pemuda itu dan dengan itu baginda tahu yang Allah telah menyelamatkan mereka berdua dengan sebab dua ekor burung merpati tersebut. Nabi mendoakan keberkatan kepada ekor burung merpati tersebut. Baginda mengambil dua ekor anak burung merpati tersebut daripada Baitullah al-Haram dan saya beranggapan baginda bersabda: Asal setiap merpati di tanah haram adalah daripada spesis dua ekor anak burung merpati yang membuat sarang di pintu gua Thur tersebut.

Takhrij Hadis

Al-Tabrani mengeluarkan hadis di atas dalam Al-Kabir (20/443/1082), al-Bazzar dalam Al-Musnad (jil. 3/299/1741) al-Bazzar dalam Kasyf al-Astar, al- Uqaili dalam ad-Du’afa al-Kabir (jil. 3/224/264), al-Baihaqi dalam al-Dala’il (jil. 2/213-214) daripada Aun bin Amru al-Qaisi yang digelar sebagai Uwain, katanya: Abu Mus’ab al-Makki memberitahu kepada kami, katanya: Saya bertemu dengan Zaid bin Arqam, al-Mughirah bin Syubah dan Anas bin Malik menceritakan ketika mana Nabi SAW berada dalam gua Thur.

Menurut al-Bazzar: Kami tidak mengetahui perawinya melainkan Aun bin Amru. Beliau seorang yang berasal daripada Basrah dan terkenal. Abu Mus’ab pula kami tidak tahu yang ada perawi yang meriwayatkan daripada beliau selain daripada Uwain. Uwain dan Rabah adalah bersaudara.

Menurut Uqaili: Aun tidak ada Mutaba’ah terhadapnya manakala Abu Mus’ad seorang yang tidak dikenali. Bagi Ibn Hajar dalam Syarah an-Nukhbah, Abu Mus’ad adalah seorang yang tidak dikenali identiti peribadinya. Sesuatu hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang tidak dikenali identiti peribadinya, tidak boleh diterima kecuali apabila dihukumkan thiqah terhadapnya oleh orang yang meriwayatkannya tidak secara berseorangan daripada beliau, berdasarkan kepada pendapat yang paling sahih. Begitu juga perawi yang meriwayatkan secara berseorangan daripada-Nya jika dia mempunyai kelayakan.

Aun bin Amru yang meriwayatkan hadis secara berseorangan daripada Abu Mus’ab telah dikemukakan oleh Imam az-Zahabi dalam Al-Mizan (3/603/6535) dengan menukilkan pandangan dan keterangan daripada pakar-pakar al-Jarah Wa at-Ta’dil. Misalnya Ibn Ma’in menyatakan: Tidak ada apa-apa yang boleh diambil kira daripada beliau. Kata al-Bukhari: Aun bin Amru al-Qaisi, meriwayatkan hadis mungkar dan tidak diketahui siapa orangnya.

Jika kita merujuk kepada istilah yang digunakan oleh Ibn Ma’in “tidak ada apa-apa yang boleh diambil kira” dan istilah Imam al-Bukhari “beliau meriwayatkan hadis mungkar” ia sekali gus membuktikan hadis tersebut tidak boleh disokong melalui hadis-hadis Mutaba’ah dan juga syawahid.

Penilaian

Syeikh Nasir ad-Din al-Albanai pernah membuat ulasan antara lain:

Tidak ada satu hadis pun yang sahih tentang sarang labah-labah dan kewujudan dua ekor burung merpati, di mulut gua Thur, meskipun banyak disebut dalam sesetengah buku dan ceramah  yang disampaikan bersempena sambutan Ma’al Hijrah. (Silsilah Al-Ahadith Al-Daifah, jil. 3, hlm. 339)

RUJUKAN

Basri bin Ibrahim, Rohaizan bin Baru, & Abdul Wahid bin Salleh. (2015). Kisah-Kisah Lemah Yang Sewajarnya Dilihat Semula Oleh Para Penceramah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah House of Publisher Sdn Bhd.

MAKLUMAN

Hasil penyelidikan ini telah dimasukkan disini melalui Projek 60 Kisah-Kisah Lemah yang biayai oleh para dermawan melalui Tabung Pembangunan Koleksi Hadis, Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja-penaja dan warga tim semakhadis.com. Aamiin!