Kisah Anak Awf bin Malik al-Asyʼjaʼi Berjaya Melepaskan Diri Daripada Tawanan Musuh

TEKS BAHASA ARAB

TEKS BAHASA MALAYSIA

Wahai Rasulullah, saya telah mencuri ternakan mereka setelah Allah SWT melepaskan saya daripada ikatan mereka, adakah ia halal atau haram? Sabda Rasulullah SAW ia adalah halal dan berikanlah kepada kami sebanyak satu perlima, lalu Allah SWT menurunkan ayat 2-3 daripada surah at-Talaq

STATUS

Lemah

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Ini adalah hasil kajian Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim and Prof. Madya Dr. Rohaizan bin Baru and Ustaz Abdul Wahid bin Salleh,

1.    Pendahuluan

Antara kisah menarik yang sering diketengahkan ke dalam masyarakat dalam ceramah dan tazkirah terutama sekali di masjid dan surau-surau ialah kisah kejayaan seorang anak sahabat Rasulullah SAW. iaitu anak Awf bin Malik al-Asyjaʼi. Kisah tersebut dikaitkan dengan kelebihan memperbanyakkan bacaan kalimah Hawqalah. Kisah tersebut dijaja ke sana ke mari atas alasan ia disebutkan didalam kitab-kitab tafsir dan dikaitkan pula dengan sebab turun ayat 2 dan 3 surah at-Talaq.

Firman Allah SWT:

فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ فَارِقُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِنْكُمْ وَأَقِيمُوا الشَّهَادَةَ لِلَّهِ ذَلِكُمْ يُوعَظُ بِهِ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا (2) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا (3)

Ertinya:

ʺKemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujuk atau melepaskannya). Dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa menyerah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”                                                                                                             (At-Talaq 65: 2-3)

Ayat di atas juga dikenali dalam kalangan masyarakat Melayu sebagai ayat seribu dinar dan dianggap oleh sesetengah orang terutama sekali peniaga sebagai ayat pelaris dan penyelesai masalah dan segala persoalan. Kerana itu tidak hairanlah apabila ayat tersebut ditampal di sesetengah kedai dan restoran kepunyaan umat Islam untuk tujuan yang dinyatakan di atas.

Kisah di atas masyhur kerana diketengahkan  oleh Syeikh Mufassirin iaitu Imam at-Tabari dalam tafsirnya dan Imam as-suyuti dalam Lubab an-Nuzul fi Asbab an-Nuzul dan diucapkan pula oleh orang ramai para pendakwah, pengkhutbah dan juga penyampai nasihat.

2.    Takhrij kisah

Kisah di atas dikemukakan dalam pelbagai jalan dan lafaz. Antaranya:

a.      Jalan Pertama : Hadis Ibn Abbas r.a.

Al-khatib al-Bahgdadi mengeluarkan dalam At-Tarikh (jil. 9, hlm. 84) (biodata no. 4663), katanya: Abu al- Walid al-Hasan bin Muhammad ad-Darbandi memberitahu kepada saya, katanya: Muhamad bin Ahmad bin Muhammad bin Sulaiman al-Hafiz di Bukhara memberitahu kepada kami, katanya, Muhammad bin Yusuf bin Radam memberitahu kepada kami, katanya Abu Sahl Muhammad bin Abdullah Ibn Sahl bin Hafs al-Ajli memberitahu kepada kami, katanya Abu Muhammad as-Sari bin Ubbad al-Qaysi al-Marwazi, memberitahu kepada kami, katanya Abu Uthman bin Said bin al-Qasim al-Baghdadi memberitahu kepada kami, katanya Said bin Abu Ziyad al-Kufi memberitahu kepada kami daripada Juwaibir daripada ad-Dahhak daripada Ibn Abbas r.a., katanya ketika mengulas firman Allah SWT:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا (2) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا (3)

Ertinya:

ʺDan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”                                                                                     (At-Talaq 65: 2-3)

Ayat di atas diturunkan kepada anak Awf bin Malik al-Asyʼjaʼi, di mana orang-orang Arab Musyrikin telah berjaya menawan beliau, lalu mengikat dan membiarkannya tanpa diberi makanan. Beliau berpeluang menulis surat kepada bapanya dengan menyatakan antara lain: Temuilah Rasulullah SAW dan beritahu kepada baginda tentang kesempitan dan kesusahan yang sedang saya alami. Setelah bapanya memberitahu kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda kepada-Nya: Tulislah semula kepada-Nya dan suruhlah beliau bertakwa dan bertawakal kepada Allah dan sentiasa mengucapkan pada setiap pagi dan petang firman Allah SAW:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ (128)

Ertinya:

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW) yang menjadi sangat berat kepada-Nya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.ʺ (At-Tawbah 9: 128)

Setelah surat tersebut sampai ke tangan beliau, beliau membaca ayat yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW tersebut, lalu Allah SWT melepaskan daripada ikatannya dan beliau berjaya melarikan diri. Ketika melarikan diri, beliau melalui lembah yang digunakan sebagai tempat untuk memelihara unta dan kambing-kambing kepunyaaan orang-orang Arab Musyrikin, lantas beliau membawa semua binatang tersebut bersamanya dan bertemu dengan Nabi Muhammad SAW. Beliau menyatakan: “Wahai Rasulullah, saya telah mencuri ternakan mereka setelah Allah SWT melepaskan saya daripada ikatan mereka, adakah ia halal atau haram? Sabda Rasulullah SAW ia adalah halal dan berikanlah kepada kami sebanyak satu perlima, lalu Allah SWT menurunkan ayat 2-3 daripada surah at-Talaq”. Ibn Abbas r.a., menyatakan: Sesiapa yang membaca ayat di atas ketika berhadapan dengan sultan yang zalim atau ketika berhadapan dengan ombak yang besar yang dibimbangi akan tenggelam kerananya atau ketika berhadapan dengan binatang buas, tidak akan dapat dipengapakan oleh sesuatu apapun.

1.      Penilaian

Dalam kisah di atas kita perhatikan jarak masa di antara pengarang kitab At-Tarikh iaitu Abu Bakar Ahmad bin Ali at-Tabari dan al-Khatib al-Baghdadi dengan Rasulullah SAW melibatkan 10 orang perawi, sebagaimana yang terdapat dalam sanad hadis di atas. Ini kerana al-Khatib al-Baghdadi meninggal dunia pada tahun 463 H. Mungkin ada yang bertanya apa pentingnya sanad hadis yang panjang di atas? Tidakkah cukup bagi kita melihat kepada teks kisah di atas sahaja?

Sebenarnya suka dinyatakan dengan mengemukakan rangkaian perawi di atas kita dapat mengesan status perawi hadis tersebut dari segi boleh dipercayai dan tidak boleh dipercayai dan kejayaan mengenal pasti status perawi akan memberi kesan kepada kisah yang dikemukakan di atas dari segi boleh dijadikan hujah ataupun tidak, apa lagi Imam Muslim pernah menyatakan dalam Muqadimah Sahihnya: Muhammad bin Abdullah bin Quhzaz memberitahu kepada saya daripada penduduk Meru, katanya: Saya mendengar Abdan bin Uthman berkata; Saya mendengar Abdulullah bin al-Mubarak berkata; “Isnad itu sebahagian daripada agama. Kalau tidaklah kerana isnad, sesiapa sahaja yang boleh bercakap dalam perkara agama apa saja yang dikehendakinya”.

2.      Penyakit Sanad Hadis

Penyakit sanad hadis di atas berada pada Juwaibir. Nama sebenar beliau ialah Ibn Said Abu al- Qasim. Menurut az-Zahabi dalam Al-Mizan (1/427/1593) beliau adalah Juwaibir bin Said Abu al-Qasim al-Azdi al-Balakhi seorang ahli tafsir dan juga sahabat ad-Dahhak. Menurut Ibn Maʼin: Tidak ada apa-apa (yang boleh diambil kira). Kata al-Juzjani: Beliau tidak boleh diambil kira. An-Nasaʼi dan ad-Daraqutni dan lain-lain mengatakan: Beliau seorang yang ditinggalkan hadisnya.

Juwaibir bin Said Khurasani adalah seorang yang ditinggalkan hadisnya. Kata Ibn Hibban dalam Hibban dalam Al-Majruhin (jil. 1, hlm. 217). Juwaibir berasal daripada Balakh dan menetap di Basrah. Menurut Yahya bin Said al-Qattan: Saya mengenalinya melalui dua hadis lalu beliau mengeluarkan kedua hadis teresebut dan menghukumnya sebagai hadis yang berada pada status yang sangat lemah. Juwaibir meriwayatkan banyak hadis-hadis Maqlub (hadis yang telah diubah kedudukannya yang sebenar) darpada ad-Dahhak.

Berdasarkan pemerhatian di atas jelas kisah yang dikemukakan melalui jalan riwayat Ibn Abbas adalah lemah dan begitu rapuh sekali dan tidak sah sama sekali untuk disandarkan kepada Nabi SAW. Hadis di atas termasuk ke dalam kategori hadis yang lemah dan ditinggalkan oleh para ulama apabila dinilai berdasarkan Ilmu Al-Jarah Wa al-Taʼdil.

b.      Jalan Kedua: Daripada Ibn Abbas Juga

Ibn Mardawaih mengeluarkan dalam Ad-Dur al-Manthur (jil.6, hlm. 233) dan Lubab an-Nuqul (hlm. 216) daripada jalan al-Kalbi daripada Abu Soleh daripada Ibn Abbas, katanya: Awf bin Malik al-Asyʼjaʼi datang lalu berkata: Wahai Rasulullah anak saya telah ditawan oleh musuhdan ibunya sangat sedih, apakah yang tuan suruh saya lakukan? Sabda Rasulullah SAW, Saya menyuruh anda dan isteri anda agar memperbanyakkan mengucapkan kalimah: La hawla Wala Quwwata illa Billah (tidak ada daya dan juga kekuatan melainkan dengan Allah). Isteri Awf berkata: Perkara yang diperintahkan supaya anda melakukannya oleh Rasulullah SAW itu adalah sebaik-baik perkara yang disuruh baginda. Keduanya memperbanyakkan menyebut kalimah tersebut. Hasilnya pihak musuh terlalai, lalu anaknya bukan sahaja berjaya melepaskan diri bahkan Berjaya membawa lari binatang ternakan mereka dan menemui bapanya dengan mambawa binatang ternakan itu, lantas turun ayat 2-3 daripada surah at-Talaq.

1.      Penyakit Hadis

Penyakit hadis di atas berada pada al-Kalbi. Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin as-Saʼib. Menurut al-Uqaili dalam Al-Duaʼafaʼ al-Kabir (jil. 4, hlm. 48), Yahya menilai beliau sebagai; Tidak ada apa-apa yang boleh diambil kira.

Ibn Adi pula menyatakan dalam Al-Kamil (jil.6, hlm.115) (biodata no 5/1626); Saya mendengar Ibn Hammad menyatakan: Al-Saʼdi menyatakan: Muhammad bin as-Saʼib, adalah seorang pendusta lagi gugur. Ujar an-Nasaʼi dalam Al-Matrukin nombor (514): Muhummad bin as-Saʼib Abu an-Nadar al-Kalbi adalah seorang yang ditinggalkan hadisnya. Az-Zahabi pula menyebut dalam Al-Mizan (jil. 3, hlm. 558 dan 7574): Muhammad bin as-Saʼib al-Kalbi seorang ahli tafsir. Menurut al-Juzjani dan lain-lain: Beliau seorang yang sangat dusta.

Kata Ibn Hibban dalam Al-Majruhin (jil. 2, hlm. 225), gelaran Muhammad bin as-Saʼib al-Kalbi ialah Abu an-Nadar, dari kalangan penduduk Kufah. Beliau merupakan seorang tokoh yang diriwayatkan daripada-Nya oleh at-Thawri dan Muhammad bin Ishak. Keduanya menyatakan: Abu an-Nadar memberitahu kepada kami sehingga beliau tidak dikenali. Beliau juga digelar oleh Atiyyah al-Awfa sebagai Abu Said. Beliau menyatakan: Abu Said memberitahu kepada saya. Maksud Abu Said di sini ialah al-Kalbi. Mereka tersalah tanggapan dengan menyatakan Abu Said yang disebutkan di atas adalah Abu Said Al-Khudri r.a.

Apa yang berlaku dalam kenyataan di atas dinamakan sebagai Tadlis as-Syuyukh iaitu perawi meriwayatkan sebuah hadis daripada seorang syeikh yang beliau mendengar sendiri daripada syeikh itu, lalu beliau menyebut namanya atau meletakkan gelarannya atau menyandarkannya atau menyifatkannya dengan sesuatu yang syeikh itu tidak dikenali, agar syeikh itu tidak dikenali, sebagaimana yang terdapat dalam ilmu mustalah hadis. Ibn Hibban menyatakan: Mazhabnya dalam agama dan kejelasannya dari segi pendustaan adalah lebih jelas daripada menumpukan perhatian untuk mengkaji tentang sifatnya. Beliau meriwayatkan daripada Abu Soleh daripada Ibn Abbas r.a. Abu Soleh tidak pernah mendengarnya daripada Abu Soleh kecuali huruf demi huruf.

Kerana itu, tidak halal menyebutnya dalam kitab-kitab, apa lagi unuk menjadikannya sebagai hujah.

Berdasarkan kepada penilaian di atas jelas sekali kelemahan kisah yang diriwayatkan menerusi jalan Ibn Abbas r.a. Jalan yang kedua ini merupakan Mutabaʼah (follow up) kepada hadis berdasarkan jalan yang pertama di atas. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam Syarh an-Nukhbah (hlm. 32), konsep Mutabaʼah melibatkan beberapa martabat. Sekiranya ia berlaku kepada perawi itu sendiri, ia adalah sesuatu yang sempurna dan jika berlaku kepada syeikhnya dan orang-orang yang berada di atas daripada syeikhnya, ia adalah kekurangan. Boleh diambil faedah daripada-Nya untuk tujuan sokongan yang menguatkan.

Walau bagaimanapun Mutabaʼah di atas tidak dapat diambil kira kerana ia adalah lemah dan mengalami kekurangan. Selain daripada Mutabaʼah itu sendiri tidak berfungsi sebagai penyokong dan penguat secara mutlak, kerana terdapat juga Mutabaʼah yang menambahkan lagi kelemahan pada sesuatu hadis.

Al-Hafz Ibn Kathir menegaskan dalam Ikhtisar Ulum al-hadis (hlm. 33); Tidak semestinya kewujudan sesuatu hadis daripada pelbagai jalan menjadikan hadis tersebut sebagai hasan, kerana konsep lemah dalam hadis itu sendiri berbeza-beza dan ada di antaranya yang tidak akan hilang semata-mata adanya berbagai-bagai mutabaʼat. Kedudukannya sebagai tabiʼ (penguat/penyokong) atau matbuʼ (yang disokong) tidak memberi kesan apa-apa seperti riwayat para pendusta dan perawi-perawi yang ditinggalkan hadis riwayatnya.

Ibn Kathir juga menyatakan dalam Mukhtasar Ulum al-Hadis (hlm. 33); Dengan itu jelas salah tanggapan kebanyakan ulama mutakhirin yang menghukum secara umum bahawasanya hadis lemah, jika muncul menerusi pelbagai jalan yang lemah, akan menarik taraf hadis tersebut kepada hasan atau sahih, kerana jika kelemahan sesuatu hadis disebabkan oleh kefasikan perawi atau tuduhan perawi tersebut berdusta, kemudian muncul beberapa jalan riwayat yang lain daripada jenis yang sama,akan melemahkan lagi hadis yang sudah pun sedia lemah itu.

Sehubungan dengan itu kita tidak boleh terpedaya dengan sebab banyaknya jalan riwayat yang berkaitan dengan sesuatu hadis yang lemah, kerana ia tidak akan dapat menguatkan hadis lemah itu secara mutlak. Ini kerana, ada kelemahan yang boleh dihilangkan dan adajuga kelemahan yang tidak boleh dihilangkan. Ibn as-Salah menyatakan dalam Ulum al-Hadis (hlm.107).

Antaranya ada kelemahan yang tidak dapat dihilangkan dengan jalan yang seumpama itu, kerana kelemahan dan kegagalan hadis penampung dalam melaksanakan fungsi dan penentangannya. Misalnya kelemahan yang berpunca daripada keadaan perawi dituduh sebagai berdusta atau kedudukan sesuatu hadis itu sebagai gharib. Ini merupakan himpunan huraiannya yang boleh ditangkap secara langsung dan juga dengan cara membuat kajian.

c.       Jalan Ketiga: Hadis Jabir

Imam as-Suyuti mengemukakan kisah di atas dalam Lubab al-Nuqul Fi Asbab an-Nuzul (hlm. 215) dan dalam Ad-Dur al-Manthur Fi at-Tafsir Bi al-Maʼthur (jil. 6, hlm. 232).

Kisah di atas dikeluarkan oleh Al-Hakim dalam Al-Mustadrak (jil. 2, hlm. 492), katanya: Abu Al-Qasim al-Hasan bin Muhammad bin al-Husain bin Uqbah bin Khalid Al-Kufi memberitahu saya di Kufah, katanya: Ubaid bin Kathir al-Amiri memberitahu kepada kami, katanya, Ubbad bin Yaʼqub memberitahu kepada kami, katanya, Yahya bin Adam memberitahu kepada kami, katanya Israel memberitahu kepada kami, katanya Ammar bin Abi Muawiyah memberitahu kepada saya, daripada Salim bin al-Jaʼdi bin Jabir daripada Abdullah r.a. katanya: Turun ayat 2-3 surah at-Talaq kepada seorang lelaki daripada Asyʼjaʼ, yang kebetulan seorang yang fakir dan tidak mempunyai harta, sebaliknya mempunyai ahli keluarga yang ramai. Beliau menemui Rasulullah SAW dan meminta sesuatu daripada baginda. Baginda SAW bersabda kepada-Nya: Bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah. Tidak lama selepas itu anaknya yang ditawan oleh pihak musuh pulang ke rumah dengan membawa kambing-kambing kepunyaan musuh. Anaknya itu telah menemui Rasulullah SAW dan bertanya baginda tentang kedudukan kambing-kambing pihak musuh yang beliau bawa lari bersamanya. Rasulullah SAW bersabda: Makanlah. Tidak lama kemudian turun ayat di atas.

1.      Penilaian

Kisah yang berdasarkan kepada riwayat Jabir di atas juga tidak sahih. Penyakit terletak pada Ubaid bin Kathir al-Amiri al-Kufi at-Tamar Abu Said. Az-Zahabi menyebut dalam Al-Mizan (jil. 3, hlm. 22-23) (biodata 5438). Antara lain beliau menyatakan: Ubaid bin Kathir  al-Amiri al-Kufi at-Tamar, Abu Said daripada Yahya bin al- Hasan bin al-Furat daripada saudaranya Ziyad bin al-Hasan daripada Aban bin Tughlab berdasarkan naskhah yang songsang. Menurut al-Azdi dan ad-Daraqutni: Beliau seorang yang ditinggalkan hadisnya. Perkara ini turut dipersetujui oleh Ibn Hajar dalam Al-Lisan (jil. 4, hlm. 143) biodata (1119/5470).

Daripada sini jelas apa yang dinyatakan oleh al-Hakim dalam Al-Mustadrak (2/492): Hadis ini adalah hadis yang sahih isnadnya tetapi al-Bukhari dan Muslim tidak mengeluarkannya, sebenarnya adalah tidak sahih. Kerana itulah az-Zahabi menyatakan dalam at-Talkhis sebagai komen terhadap kata-kata al-Hakim di atas; Bahkan ia merupakan hadis mungkar, Ubbad adalah seorang Rafidah gunung, manakala Ubid pula seorang yang ditinggalkan orang hadisnya. Itulah juga yang dinyatakan oleh al-Azdi.

Sehubungan dengan itu seorang pelajar tidak perlu terpedaya dengan penilaian sahih yang dilakukan oleh al-Hakim, kerana beliau sendiri terkenal sebagai seorang yang longgar dalam meletakkan status sahih kepada sesebuah hadis. Perkara ini diakui oleh as-Suyuti dalam At-Tadrib (jil. 1, hlm. 105).

Menurut Ibn Abd al-Hadi dalam al-Sarim al-Munki (hlm. 36) ketika al-Hakim mengumpulkan Al-Mustadrak berdasarkan kepada syarat as-Syeikhain, beliau turut memuatkan bersama di dalamnya banyak hadis-hadis yang lemah dan mungkar, bahkan yang mawduk. Beliau meriwayatkan daripada segolongan perawi yang cacat (Majruhin) yang beliau sebutkan nama-nama mereka dalam kitab Ad-Duʼafaʼ dan kecacatan mereka jelas sekali kepada beliau. Perbuatan beliau ini telah ditolak oleh ramai daripada imam-imam besar dalam lapangan penilaian hadis. Sebahagian imam itu menyatakan pada akhir umum beliau telah berlaku perubahan dan kelalaian pada hafalan. Kerana itu tidak hairanlah apabila timbul hadis-hadis berpenyakit daripada beliau.

Kisah di atas yang berasaskan kepada riwayat Jabir tidak sahih kerana factor-faktor berikut:

  1. Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut dalam An-Nukhbah (hlm. 32): Sekiranya didapati teks hadis yang diriwayatkan daripada hadis seorang sahabat yang lain, yang menyerupainya dari segi lafaz dan makna atau dari segi makna sahaja, ia dinamakan sebagai hadis As-Syahid (hadis yang menyokong). Hadis As-Syahid ialah hadis yang mana para perawi di dalamnya berkongsi dengan perawi hadis yang diriwayatkan oleh perawi dari kalangan orang perseorangan baik dari segi lafaz dan makna atau maknanya sahaja dalam keadaan wujud perbezaan pada sahabat yang meriwayatkan hadis tersebut. Manakala hadis Mutabiʼ ialah hadis yang mana perawinya berkongsi dengan perawi hadis riwayat orang perseorangan baik dari segi lafaz mahupun makna atau makna sahaja dalam keadaan wujud persamaan pada sahabat yang meriwayatkan hadis.
  2. Al-Hafiz Ibn Hajar memilih untuk membezakan di antara hadis Mutabiʼ dengan hadis Syahid bi as-Sahabi. Ia telah dinukil oleh muridnya as-Sakhawi dalam Fath al-Mughith (jil. 1, hlm. 242). Antara lain beliau mengatakan: Tetapi Ibn Hajar telah memilih untuk tidak membataskan hadis tabiʼ berdasarkan kepada lafaz dan tidak membataskan hadis syahid berdasarkan kepada makna dan memisahkan di antara keduanya dengan sahabat sahaja.

As-Sakhawi juga mengemukakan pandangan Ibn As-Salah yang antara lain menegaskan kadang-kadang masuk ke dalam bab Mutabaʼah dan Istisyhad riwayat yang tidak boleh dijadikan hujah, bahkan termasuk ke dalam kalangan perawi yang lemah, bahkan dalam kitab al-Bukhari dan Muslim terdapat segolongan perawi lemah yang disebutkan oleh kedua orang tokoh tersebut dalam hadis-hadis Mutabaʼah dan syawahid dan tidak semua perawi yang lemah itu sesuai untuk tujuan tersebut. Sehubungan dengan itu ad-Daraqutni menyatakan: Si pulan itu tidak boleh diambil kira riwayatnya dan si pulan itu pula boleh diambil kira riwayatnya.

Imam an-Nawawi menegaskan dalam syarah Muslim, ahli-ahli hadis berbuat demikian iaitu memasukkan perawi-perawi yang lemah dalam hadis-hadis Mutabaʼah dan syawahid kerana hadis Mutabiʼ tidak boleh dijadikan bahan pergantungan, sebaliknya yang dijadikan bahan pergantungan ialah hadis yang sebelumnya.

Berhubung dengan kata-kata Ibn as-Salah: “Tidak semua perawi yang lemah itu, sesuai untuk tujuan tersebutʺ iaitu yang melibatkan bab Mutabaʼah dan Istisyhad, boleh kita simpulkan yang ianya melibatkan tiga martabat dinisbahkan kepada Mutabaʼah dan juga Istisyhad.

  1. Martabat yang boleh dijadikan hujah.
  2. Martabat yang boleh dijadikan sebagai iktibar.
  3. Martabat yang perlu ditolak dan ditinggalkan.

Perawi-perawi yang berada pada dua martabat iaitu yang pertama dan kedua, hadis mereka boleh dijadikan Mutabaʼah dan syawahid, manakala yang berada pada martabat yang ketiga, tidak sesuai untuk dijadikan Mutabaʼah dan syawahid, bahkan mereka berada pada martabat perlu ditolak dan ditinggalkan.

Dengan memerhatikan hadis riwayat Jabir di atas, ia juga tidak sesuai untuk mejadi hadis Syahid (yang menyokong) hadis Ibn Abbas, kerana Ubaid bin kathir al-Amiri, ditinggalkan dan tidak diambil kira hadisnya, malah beliau seorang yang sangat lemah. Kelemahannya tidak hilang dengan sebab wujud hadis-hadis Mutabaʼah dan Syawahid, bahkan hadis beliau berada pada martabat yang perlu ditolak dan ditinggalkan.

d.      Jalan Keempat: Hadis Ibn Masʼud r.a.

Kisah melalui riwayat di atas dikemukakan oleh Imam as-Suyuti dalam Lubab an-Nuqul Fi Asbab an-Nuzul (hlm. 216). Begitu juga yang terdapat dalam Ad-Dur al-Manthur.

1.      Takhrij Kisah

Kisah menerusi jalan keempat di atas dikeluarkan oleh al-Hakim dalam Al-Mustadrak (jil.1, hlm. 543), katanya: Abu al-Abbas Muhammad bin Ahmad al-Mahbubi memberitahu kepada kami, katanya, Abd Al-Aziz bin Hatim memberitahu kami, katanya, Abu Wahab Muhammad bin Mahazim memberitahu kepada kami, katanya Sufyan bin Uyainah memberitahu kepada kami, daripada Musʼir daripada Ali bin Bazimah daripada Abi Ubaidah daripada Abdillah r.a. katanya: Seorang lelaki menemui Rasulullah SAW dan saya melihat beliau adalah Awf bin Malik, katanya: Wahai Rasulullah SAW,sesungguhnya bani pulan telah menyerang saya secara mengejut dan telah menawan anak lelaki dan unta milik saya. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya keluarga Muhammmad, begini dan begini ahli bait, saya beranggapan baginda mengatakan: Sembilan bait, tidak ada dalam kalangan mereka satu gantangpun makanan mahupun satu cupak. Mohonlah pertolangan kepada Allah Azza Wajalla. Katanya: Lantas beliau pulang menemui isterinya. Isterinya berkata: Apakah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap anda, lantas suaminya menceritakan apa yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW kepada isterinya itu. Katanya: Tidak lama selepas itu dikembalikan semula unta dan anak lelakinya lebih banyak daripada yang mereka miliki. Suaminya menemui Rasulullah SAW lalu memberitahu kepada baginda apa yang berlaku. Baginda bangkit menuju ke mimbar, lalu memuji dan menyanjung Allah SWT. Rasulullah SAW memerintahkan mereka memohon pertolongan daripada Allah SWT dan menunjukkan kesungguhan kepada-Nya dan seterusnya baginda membaca ayat 2-3 daripada surah at-Talaq di atas.

2.      Penilaian

Kisah yang diriwayatkan menerusi hadis Ibn Masʼud di atas juga tidak sahih, kerana terdapat penyakit yang tersembunyi iaitu dalam sanadnya terdapat orang tidak dikenali mendengar sendiri daripada orang yang beliau riwayatkan hadis daripada-Nya iaitu Abu Ubaidah bin Abdullah bin Masʼud daripada bapanya.

Imam al-Mizzi menyebut dalam Tahzib al-Kamal (jil. 9, hlm. 368) (biodata 3035) Amir bin Abdullah bin Masʼud al-Hazli, Abu Ubaidah al-Kufi. Ada yang mengatakan namanya juga adalah gelarannya. Beliau adalah saudara Abd al-Barraʼ bin Azib dan bapanya Abdullah bin Masʼud tetapi beliau tidak mendengar sendiri daripadanya.

Setelah itu beliau mengemukakan pandangan tokoh-tokoh yang mahir dalam lapangan hadis tentang Abu Ubaidah. At-Tirmizi menyatakan namanya tidak diketuai dan beliau sedikit pun tidak mendengar riwayat daripada bapanya.Syubah pula melaporkan daripada Amru bin Murrah, yang menyatakan: Saya pernah bertanya kepada Abu Ubaidah bin Abdillah: Adakah anda mengingati sesuatu hadis daripada Abdullah? Jawabnya: Tidak. Ibn Hajar pula menyebut dalam Tahzib At-Tahzib (jil. 5, hlm. 66), dengan mengemukakan laporan Ibn Hibban yang menafikan Abu Ubaidah mendengar sebarang hadis daripada bapanya. Begitu juga yang dinyatakan oleh Ibn Abi Hatim dalam Al- Marasil.

At-Tirmizi pernah melaporkan dalam Al-Ilal al-Kabir, yang beliau pernah bertanya kepada Muhammad (al-Bukhari), tentang nama sebenar Abu Ubaidah. Tetapi Muhammad menegaskan beliau sendiri tidak mengenali nama sebenar Abu Ubaidah itu, malah beliau menyatakan: Beliau seorang yang banyak melakukan kesalahan dalam meriwayatkan hadis.

Selain daripada itu, hadis di atas juga termasuk ke dalam kategori hadis Mursal Khafi. Menurut Imam an-Nawawi dalam At-Taqrib (jil. 2, hlm. 205) Mursal Khafi ialah hadis yang diriwayatkan oleh perawi daripada perawi yang ditemuinya atau yang hidup semasa dengannya, tetapi dia tidak mendengar daripada perawi itu.

Menurut Imam as-Suyuti dalam At-Tadrib (jil. 2, hlm. 205) antara yang termasuk ke dalam erti kata hadis Mursal Khafi ialah hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ubaidah daripada bapanya Abdulullah bin Masʼud.

Mereka yang belajar ilmu hadis tidak perlu terpedaya dengan kata-kata al-Hakim: Hadis ini memiliki isnad yang sahih tetapi al-Bukhari dan Muslim tidak mengeluarkannya, kerana beliau terkenal sebagai seorang yang longgar dalam meletakkan nilai sahih pada sesuatu hadis.

Dalam At-Talkhis hasil karya az-Zahabi menjelaskan:”Tidak wajar menyatakan ia diakui oleh az-Zahabi atau dipersetujui oleh az-Zahabi” bahkan yang lebih utama dikatakan ialah: Inilah adalah kesamaran al-Hakim yang didiamkan oleh az-Zahabi.

Mereka juga tidak boleh tertipu dengan sebab hadis riwayat Abu-Ubaidah di keluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim di dalam kedua-dua kitab sahih mereka, dengan kata-kata: “Jika muncul hadis melalui jalan Abu Ubaidah daripada bapanya perawinya adalah dipercayai atau berdasarkan kepada syarat as-Syeikhain.ʺ Kata-kata tersebut tidak sahih dan mengelirukan ramai orang. Al-Bukhari meriwayatkan hadis daripada Abu Ubaidah tidak melalui jalan bapanya. Begitu juga dengan Muslim. Misalnya al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis Abu Ubaidah melalui jalan Amru bin al-Harith bin al-Mustafa. Al-Hakim pula meriwayatkan hadis Abu Ubaidah melalui jalan Abu Musa al-Asyʼari, Masruq bin al-Ajdaʼ dan Kaʼab bin Ujrah. Al-Bukhari meriwayatkan hadis beliau melalui jalan ibunya Zainab at-Thaqafiyyah dan Aisyah r.a.

Penyakit di atas merupakan salah satu daripada 10 jenis penyakit yang sering menimpa hadis iaitu sanadnya jelas sahih tetapi dalam rangkaian perawinya terdapat perawi yang tidak diketahui mendengar sendiri daripada perawi yang dia bertemu dengannya.

e.      Jalan Kelima: Melalui Jalan  Mursal as-Suddi

Kisah berdasarkan kepada jalan Mursal as-Suddi telah dinyatakan  oleh Ibn Jarir at-Tabari dalam tafsirnya (jil. 12, hlm. 143) (hadis no: 34287). Al-Hafiz Ibn Kathir menukilkan dalam tafsirnya (at-Talaq 65: 2-3) dengan menggunakan  lafaz: dianggap… dan seterusnya beliau menyatakan: Ia diriwayatkan oleh Ibn Jarir.

 

1.      Penilaian

Kisah melalui jalan riwayat Mursal as-Suddi juga tidak sahih, kerana ia diriwayatkan dengan menggunakan lafaz ʺdianggap”. Riwayat dengan lafaz seumpama itu menurut ar-Raghib dalam Gharib Al-Quran (hlm. 213) merupakan ungkapan yang berkemungkinan besar mengandungi pendustaan. Kerana itu al-Quran mencela orang yang menggunakan lafaz seumpama itu.

Sebagaimana yang makruf diketahui, as-Suddi melibatkan dua individu iaitu pertama as-Suddi al-Kabir (Suddi besar) dan kedua adalah as-Suddi al-Saghir (Suddi kecil). As-Suddi al-Kabir menurut al-Imam al-Mizzi dalam Tahzib al-Kamal (jil. 2, hlm. 190) adalah Ismail bin Abd ar-Rahman bin Abi Karimah as-Suddi Abu Muhammad al-Qurasyi yang menetap di Kufah iaitu hamba kepada Zainab binti Qais bin Makhramah. Beliau berasal daripada Hijaz. Setelah berpindah ke Kufah, beliau menetap di Suddah berhampiran dengan masjid Kufah, lantaran itu beliau digelar sebagai as-Suddi.

Manakala as-Suddi as-Saghir pula ialah Muhammad bin Marwan as-Suddi al-Kufi. Ulama hadis meninggalkan riwayat beliau dan sebahagian daripada mereka menuduh beliau sebagai pendusta. Beliau adalah sahabat al-Kalbi, sebagaimana yang dilaporkan oleh Imam al-Mizzi dalam Tahzib al-Kamal (jil. 17, hlm.206) dan az-Zahabi dalam Al-Mizan (jil. 4, hlm. 32).

Oleh kerana kisah berdasarkan riwayat di atas adalah daripada jalan Asbat daripada as-Suddi, sekali gus membuktikan ia merupakan kisah yang diriwayatkan oleh as-Suddi al-Kabir. Cuma dalam menilai kedudukan Asbat bin Nasr al-Hamazani, ulama hadis seperti Ibn Abi Hatim dalam Al-Jarah Wa at-Taʼdil (jil. 2, hlm. 332) menilai beliau sebagai lemah dan mengatakan; Kebanyakkan hadis riwayat beliau memiliki sanad yang songsang dan bertukar-tukar. Ibn Maʼin menyatakan; Beliau seorang yang tidak apa-apa yang boleh diambil kira. Kata as-Saji dalam Ad-Duʼafak: Beliau meriwayatkan hadis-hadis yang tidak mempunyai sokongan daripada hadis-hadis lain, malah Ibn Hajar pernah mengemukakan satu hadis mungkar yang diriwayatkan oleh Asbat yang telah diberi komen oleh al-Bukhari.

Selain daripada itu, Abu Zurʼah menolak orang yang mengeluarkan hadis Asbat sebagaimana yang dijelaskan dalam Tahzib at-Tahzib (jil. 1, hlm. 186).

Selain daripada itu, kisah berdasarkan jalan riwayat di atas juga merupakan mursal pada lapisan keempat, kerana as-Suddi adalah seorang yang berada pada lapisan tersebut, sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz dalam at-Taqrib (jil. 1, hlm. 72). Ia berada di bawah daripada lapisan tabiin besar, bahkan berada di bawah lagi daripada lapisan tengah dari kalangan tabiin, kerana kebanyakkan riwayat yang terdapat pada lapisan keempat adalah daripada tabiin, sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz dalam at-Taqrib (jil. 1, hlm. 5). Dengan itu jelas kisah melalui jalan Mursal di atas juga adalah lemah. Dengan itu terselah rahsia kenapa Ibn Kathir mengemukakan kisah melalui jalan riwayat di atas dengan menggunakan lafaz: dianggap…dan menghubungkan kisah tersebut kepada Ibn Jarir.

f.        Keenam: Melalui Jalan Riwayat Mursal Salim bin Abu al-Jaʼd

Ibn Jarir mengeluarkan kisah melalui jalan di atas dalam tafsirnya (jil. 12/34288). Kisah melalui jalan di atas juga adalah kisah tidak sahih, disebabkan kedudukkannya yang mursal. Salim berada pada lapisan yang ketiga dan banyak melakukan Irsal, sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Hajar dalam Al-Taqrib (jil. 1, hlm. 279). Selain daripada itu, dalam kisah melalui jalan riwayat di atas terdapat satu penyakit yang sekali gus menjadikannya sebagai lemah iaitu berdasarkan kepada riwayat Mahran bin Abu Amru ar-Razi daripada Sufyan. Menurut al-Uqaili dalam Ad-Duʼafak al-Kabir (jil.4, hlm. 229), Mahran meriwayatkan hadis yang tidak ada sokongan daripada at-Thawri, bahkan dalam al-Mizan menjelaskan (jil. 4, hlm. 196) Mahran banyak melakukan kesalahan terhadap hadis Sufyan yang diriwayatkan beliau, sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Maʼin.

g.      Ketujuh: Melalui Jalan Mursal Muhammad bin Ishak Hamba Abu Qais bin Makhramah

Kisah melalui jalan di atas dikeluarkan oleh Ibn Abi Hatim dalam tafsirnya (jil, hlm. 3359) (hadis no: 18911). Ia juga dikemukakan oleh Ibn Kathir dan beliau menisbahkannya kepada beliau. Namun pada hakikat yang sebenarnya kisah melalui jalan di atas juga tidak sahih, disebabkan oleh mursalnya. Muhammad bin Ishak termasuk ke dalam perawi kecil yang berada pada barisan kelima dan banyak melakukan penipuan (Tadlis), sebagaimana yang dilaporkan oleh Imam Ahmad dan sebagaimana yang terdapat dalam Al-Mizan (jil. 3, hlm. 471). Ia juga dinilai sebagai lemah oleh al-Qattan dan at-Taimi.

Pendek kata kisah berdasarkan riwayat di atas berada di antara mursal yanag lemah dengan Musnad yang terlalu lemah.

3.    Kesimpulan

Kisah di atas merupakan suatu kisah yang lemah dan tidak wajar diketengahkan dalam masyarakat, apa lagi bila dikaitkan dengan pengalaman ayat seibu dinar. Cukuplah bagi seseorang itu melakukan sesuatu kerja dengan tekun dan mengikut perancangan rapi dan seterusnya bertawakal kepada Allah dan bukan dengan memperbanyakkan membaca ayat seribu dinar yang tidak diketahui hujung pangkal kesahihannya.

RUJUKAN

Basri bin Ibrahim, Rohaizan bin Baru, & Abdul Wahid bin Salleh. (2015). Kisah-Kisah Lemah Yang Sewajarnya Dilihat Semula Oleh Para Penceramah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah House of Publisher Sdn Bhd.

MAKLUMAN

Hasil penyelidikan ini telah dimasukkan disini melalui Projek 60 Kisah-Kisah Lemah yang biayai oleh para dermawan melalui Tabung Pembangunan Koleksi Hadis, Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja-penaja dan warga tim semakhadis.com. Aamiin!