Kisah Alqamah Mati dalam Keadaan Tidak Boleh Mengucap kerana Menderhaka Kepada Ibu

 

TEKS BAHASA ARAB

TEKS BAHASA MALAYSIA

Pada zaman Rasulullah SAW ada seorang pemuda yang dikenali dengan nama Alqamah. Beliau seorang yang sangat kuat melakukan amalan ketaatan kepada Allah SWT baik berbentuk ibadah solat, puasa mahupun sedekah. Satu ketika beliau jatuh sakit dan sakitnya itu semakin bertambah tenat. Isterinya telah menghantar orang untuk menemui Rasulullah SAW dan memberitahu baginda SAW yang suaminya berada dalam keadaan nazak.

Nabi SAW menghantar Ammar Suhaib dan juga Bilal sambil berpesan: Pergilah menemuinya dan ajarkanlah kalimah syahadah kepada-Nya. Utusan Rasulullah SAW tersebut pergi ke kampung Alqamah dan setelah tiba di sana mereka terus masuk ke dalam rumah Alqamah dan mengajarnya kalimah syahadah, tetapi malangnya lidah Alqamah tidak dapat menyebut kalimah syahadah.

Utusan Rasulullah SAW itu telah menghantar orang untuk menemui Rasulullah SAW memberitahu kepada baginda yang Alqamah tidak dapat mengucapkan kalimah syahadah. Rasulullah SAW bersabda: Adakah kedua ibu bapanya atau salah seorang daripadanya masih hidup? Lantas Baginda SAW diberitahu yang beliau mempunyai seorang ibu yang sudah tua. Rasulullah SAW menghantar utusan untuk menemui ibu Alqamah dan memberi dua pilihan kepada beliau sama ada menemui Rasulullah SAW atau terus berada di rumahnya sebaliknya Rasulullah SAW yang akan datang menemuinya.

Setelah utusan Rasulullah SAW tiba di rumah ibu Alqamah dan memberitahu kepadanya tentang pesanan Rasulullah SAW ibu yang sudah tua itu berkata; Diriku menjadi tebusannya. Saya lebih berhak menemui baginda. Lalu perempuan tua itu bangun sambil menggunakan tongkatnya datang menemui Rasulullah SAW.

Setelah tiba, perempuan itu memberi salam kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda kepadanya: Wahai ibu Alqamah percayalah kepada saya meskipun anda mungkin tidak mempercayai kata-kata saya. Wahyu telah datang kepada saya daripada Allah SWT bagaimana keadaan anak anda Alqamah? Jawab perempuan tua itu; Beliau seorang ramai melakukan solat, berpuasa juga bersedekah.

Rasulullah SAW bersabda: Apakah ada sesuatu yang puan tidak puas hati terhadapnya? Jawab perempuan tua itu: Saya marah kepadanya.Rasulullah SAW bersabda: kenapa? Jawab perempuan tua itu: Dia melebihkan isterinya daripada saya, malah menderhaka kepada saya. Rasulullah SAW bersabda: Kemarahan ibu Alqamah menjadi penyebab kepada kegagalan Alqamah mengucapkan kalimah syahadah. Seterusnya Rasulullah SAW bersabda: Wahai Bilal bergegaslah untuk mengumpulkan kayu api yang banyak untuk saya. Jawab perempuan itu: Wahai Rasulullah apa yang tuan ingin lakukan? Sabda Baginda; Saya ingin membakarnya dengan api di hadapan puan.

Jawab perempuan itu: Wahai Rasulullah SAW saya tidak sanggup melihat anak saya dibakar di hadapan mata saya. Sabda Rasulullah: Wahai ibu Alqamah azab Allah itu lebih dahsyat dan lebih kekal. Seandainya puan ingin Allah ampunkan anak puan, maafkanlah dia. Demi diriku yan berada dalam genggaman-Nya, solat, puasa, dan juga sedekah yang dilakukan oleh Alqamah tidak bermanfaat, selagi puan marah kepadanya. Jawab perempuan itu, Wahai Rasulullah saya bersaksi dengan Allah dan para malaikat-Nya dan juga di hadapan orang-orang Islam yang hadir di sini, saya telah memaafkan anak saya Alqamah.

Rasulullah SAW bersabda: Wahai Bilal bergegaslah menemui Alqamah dan lihatlah adakah dia mampu mengucapkan kalimah La Ilaha Illa Allah ataupun tidak, kerana kemungkinan ibu Alqamah mengucapkan sesuatu yang tidak datang daripada lubuk hatinya yang sebenar, kerana malu kepada saya? Bilal segera ke rumah Alqamah dan daripada luar rumah beliau mendengar Alqamah mengucapkan kalimah tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah itu Bilal masuk lalu berkata: Kemarahan ibu Alqamah telah menyebabkan lidahnya tidak dapat mengucapkan kalimah syahadah dan setelah ibunya memaafkan beliau barulah beliau dapat mengucapkan kalimah tersebut. Alqamah meninggal dunia pada hari itu juga.

Rasulullah SAW datang lalu memerintahkan agar jenazah Alqamah dimandi, dikafankan dan seterusnya disolatkan. Baginda menghadiri upacara pengkebumiannya dan setelah selesai upacara tersebut baginda berdiri di tepi kubur lalu bersabda: Wahai orang-orang Muhajirin dan Ansar, sesiapa yang melebihkan isteri mengatasi ibunya sendiri, akan mendapat laknat Allah, malaikat dan juga orang ramai. Allah SWT juga tidak akan menerima amalan wajib mahupun sunat yang dilakukannya kecuali setelah benar-benar bertaubat kepada Allah SWT dan mengelokkan taubat tersebut. Seterusnya meminta maaf daripada ibunya, barulah Allah akan meredainya, kerana keredaan Allah itu bergantung pada keredaan ibu dan kemurkaan Allah itu bergantung pada kemarahan ibu.

STATUS

Tidak sahih

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Ini adalah hasil kajian Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim and Prof. Madya Dr. Rohaizan bin Baru and Ustaz Abdul Wahid bin Salleh,

Takhrij Hadis

Kisah di atas telah dikemukakan oleh az-Zahabi dalam Al-Kaba’ir (hlm. 34), namun ia adalah suatu kisah yang batil. Ini kerana Alqamah yang dikemukakan dalam kisah di atas merupakan satu nama yang samar-samar dan tidak jelas dan sengaja direka oleh para pereka hadis, kerana Alqamah yang sebenar yang merupakan salah seorang sahabat Rasulullah tidak mempunyai rekod yang berkaitan dengan kisah berkenaan dan ia dapat dilihat dalam biodata mereka dalam Al-Isabah (jil. 4, hlm. 262, no: 5654 sehingga kepada nombor 5675) oleh Ibn Hajar dalam terjemahan pembentangan beliau terhadap nama-nama sahabat Nabi SAW yang bernama Alqamah. Begitu juga yang terdapat dalam Usd al-Ghabah (jil. 4, hlm. 81) oleh Ibn al-Athir. Sebab itu didapati nama yang disebutkan dalam kisah di atas tidak disertakan dengan nama bapa sekali, nama kabilah, negeri, pekerjaan dan gelaran yang selalu digunakan kepada beliau.

Penyakit Kisah di Atas

Mungkin ada orang mengatakan untuk mengambil pengajaran daripada sesuatu kisah tidak perlu diketahui nama seseorang yang terdapat dalam kisah yang dikemukakan itu. Namun kita suka menyatakan bahawa ia juga merupakan satu bentuk kebatilan baik disebut nama orang yang terlibat mahupun tidak disebut nama orang yang terlibat itu, kerana takhrij ke atas kisah di atas membuktikan ia adalah sesuatu yang batil.

Kisah di atas selain daripada dikemukakan oleh al-Zahabi dalam al-Kabair, juga dikeluarkan oleh Ibn al-Jawzi dalam Al-Mawdu’at (jil. 3, hlm. 87), al-Uqaili dalam Ad-Du’afak al-Kabir (jil. 3, hlm. 461), Al-Khara’iti dalam Masawi’ al-akhlak, Al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman dan as-Suyuti dalam Al-La’ali’ al-Masnu’ah (jil. 2, hlm. 296).

Menurut Ibn Jawzi hadis yang mengandungi kisah di atas adalah tidak sahih, kerana dalam Jalur perawinya ada seorang perawi yang bernama Fa’id. Menurut Imam Ahmad bin Hanbal, Fa’id seorang yang ditinggalkan hadisnya. Menurut al-Uqaili pula; Hadis Fa’id di atas tidak ada sokongan melainkan daripada perawi lemah yang sama dengan beliau juga. Menurut al-Baihaqi pula hadis di atas hanya diriwayatkan oleh Fa’id sahaja. Nama sebenar beliau ialah Fa’id bin Abd ar-Rahman Abu al-Waraqa’. Begitulah yang dinyatakan dalam Syu’ab al-Imam (hadis no: 7892).

Al-Bukhari pula menyatakan dalam Ad-Dua’afak as-Saghir (no: 299), Fa’id meriwayatkan hadis mungkar. Istilah hadis mungkar digunakan oleh Imam al-Bukhari kepada perawi yang tidak halal meriwayatkan hadis daripada-Nya sebagaimana yang disebutkan sebelum ini dan sebagaimana yang terdapat dalam Tadrib al-Rawi (jil. 1, hlm. 349).

An-Nasa’i juga mengeluarkan kenyataan sama yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal di atas iaitu Fa’id ditinggalkan orang hadisnya. Istilah ini di sisi Nasa’i merujuk kepada hadis yang telah disepakati oleh mereka untuk ditinggalkan.

Kisah di atas telah dikemukakan oleh az-Zahabi dalam Al-Mizan (jil. 2, hlm. 4) dan mengkategorikannya sebagai termasuk ke dalam musibah. Ujar beliau: Faid seorang yang binasa. Dengan itu seseorang tidak perlu terkeliru semata-mata kisah tersebut dikemukakan beliau dalam Al-Kaba’ir. Az-Zahabi mengatakan antara lain: Antara musibah Daud bin Ibrahim ialah beliau mengatakan Jaafar bin Sulaiman telah memberitahu kepada kami, katanya Faid telah memberitahu kepada kami daripada Abu Awfa, lalu beliau menyebut kisah tersebut seterusnya.

RUJUKAN

Basri bin Ibrahim, Rohaizan bin Baru, & Abdul Wahid bin Salleh. (2015). Kisah-Kisah Lemah Yang Sewajarnya Dilihat Semula Oleh Para Penceramah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah House of Publisher Sdn Bhd.

MAKLUMAN

Hasil penyelidikan ini telah dimasukkan disini melalui Projek 60 Kisah-Kisah Lemah yang biayai oleh para dermawan melalui Tabung Pembangunan Koleksi Hadis, Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja-penaja dan warga tim semakhadis.com. Aamiin!