Kisah Ali Menepati Nazarnya

 

TEKS BAHASA ARAB

TEKS BAHASA MALAYSIA

Al-Hasan dan al-Husain sakit. Mereka berdua telah diziarahi oleh Rasulullah SAW dengan dua orang sahabat baginda iaitu Abu Bakar dan Umar radiallahuanhu. Sebaik sahaja baginda sampai di tempat cucunya itu, baginda terus meletakkan Al-Hasan pada salah satu peha baginda dan al-Husain pada peha yang satu lagi. Baginda mencium dan mendoakan kesembuhan untuk keduanya. Kedua orang anak itu begitu senang apabila diperlakukan dengan penuh kasih sayang oleh Baginda. Tidak lama kemudian Umar bin al-Khattab r.a., mengatakan kepada Ali: Wahai Abu al-Hasan, bernazarlah, jika Allah menyembuhkan dua orang anak anda, yang anda akan melakukan kesyukuran kepada Allah. Jawab Ali: Sekiranya Allah menyembuhkan kedua orang anak saya ini, saya akan berpuasa selama tiga hari sebagai melahirkan rasa syukur. Kata Fatimah r.a. saya juga akan berpuasa selama tiga hari sebagai menyatakan rasa syukur kepada Allah. Seorang jariah yang berada di situ menyatakan; Saya akan berpuasa selama tiga hari. Apabila bangun waktu pagi, Allah menyembuhkan penyakit yang dialami oleh dua oarang anak tersebut dalam keadaan mereka bertiga berpuasa. Mereka tidak mempunyai makanan untuk digunakan sebagai bahan untuk berbuka.

Ali telah menuju ke rumah seorang Yahudi dan berkata kepada-Nya; Berilah pinjam kepada saya sebanyak tiga gantang gandum, saya akan berikan kepada anda baju bulu yang disulam sendiri oleh anak perempuan Muhammad. Yahudi itu menyerahkan gandum yang diminta itu dan Ali telah membawanya di sebalik pakaian beliau dan seterusnya membawa pulang kepada Fatimah sambil berkata: Bolehkah anda menyulam untuk saya satu helai pakaian. Jariahnya bangun lalu menuju ke bekas Barli lalu menumbuk dan mengulinya. Beliau telah membuat lima biji roti.

Ali menunaikan solat bersama dengan Nabi SAW dan setelah itu pulang dari mendapati makanan sudah siap terhidang. Mereka semua duduk untuk menunggu masa berbuka. Tiba-tiba seorang miskin muncul di hadapan pintu lalu berkata; Wahai ahli keluarga Muhammad seorang miskin dalam kalangan orang-orang miskin Islam sedang berada di hadapan pintu rumah anda. Berilah makan kepada saya, nescaya Allah akan memberi makan kepada tuan-tuan sekalian hidangan daripada syurga. Ali bangun kalau memberikan kepada orang miskin itu lima biji roti itu, manakala beliau dan ahli keluarga hanya berpada berbuka puasa dengan hanya meminum air.

Pada hari yang kedua berlaku perkara yang sama sebagaimana yang berlaku pada hari yang pertama. Fatimah r.a., mengambil gandum lalu menguli dan membuat sebanyak lima biji roti. Ali telah menunaikan solat bersama dengan Nabi SAW kemudian baginda mengunjungi rumah Ali k.r.w, lalu makanan dihidangkan di hadapan mereka. Tiba-tiba seorang anak yatim berdiri di hadapan pintu, sambil berkata: Assalamualaikum wahai penghuni rumah Muhammad, saya merupakan salah seorang daripada anak yatim Muhajirin. Bapa saya telah mati syahid. Berilah makanan kepada saya, mudah-mudahan Allah memberi makanan kepada tuan hidangan daripada syurga. Mereka memberikan kepada anak yatim tersebut lima biji roti yang sudah pun siap dihidangkan. Mereka berada selama dua hari dua malam dalam keadaan tidak menjamah apa-apa makanan kecuali air sejuk sahaja.

Apabila tiba hari yang ketiga, Fatimah mengambil gandum yang masih berbaki lalu menguli dan membuat roti. Ali menunaikan solat bersama dengan Nabi SAW. Kemudian baginda datang ke rumah, dan bersedia untuk makan makanan dihidangkan di hadapan mereka. Tiba-tiba datang seorang tawanan berdiri di hadapan pintu, lalu berkata: Assalamualaikum warahmatullah, wahai penghuni rumah Muhammad, saya seorang tawanan perang, berilah makanan kepada saya, lantas mereka memberikan kepada beliau roti yang dibuat itu dan dengan itu selama tiga malam mereka berbuka puasa dengan tidak menjamah apa-apa makanan selain daripada air sejuk sahaja.

Apabila tiba hari yang keempat, Nazar Ali pun telah pun berakhir, beliau membimbing tangan anaknya al-Hasan dengan tangan kanannya dan al-Husain dengan tangan kiri. Pada masa itu mereka menggigil kelaparan tidak ubah bagaikan anak burung yang meminta makanan daripada ibunya. Apabila Rasulullah SAW melihat keadaan tersebut, baginda bersabda: Wahai Abu al-Hasan; keadaan yang menimpa diri anda sekeluarga cukup menyentuh perasaan saya. Marilah kita menemui anak perempuan saya Fatimah, lantas mereka semua bergegas menemui Fatimah yang pada masa itu berada di mihrabnya. Perutnya bertemu dengan belakangnya, manakala kedua matanya cengkung kerana menahan lapar. Apabila Rasulullah SAW melihat keadaan yang dialami oleh anak perempuannya itu dan menyedari bahana kelaparan yang dialami oleh anak perempuannya itu. Baginda menangis lalu bersabda: Berilah pertolongan wahai Allah, ahli keluarga Muhammad hampir mati kelaparan.

STATUS

Palsu

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Ini adalah hasil kajian Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim and Prof. Madya Dr. Rohaizan bin Baru and Ustaz Abdul Wahid bin Salleh,

Kisah di atas merupakan antara kisah yang juga masyhur diperkatakan oleh para penceramah dan pengkuliah terutama sekali di negara-negara Arab, malah tidak kurang juga diketengahkan oleh sesetengah penceramah di negara kita.

Takhrij Kisah

Kisah di atas adalah suatu kisah yang sangat lemah. Ia dikeluarkan oleh Ibn Jawzi dalam Al-Mawdu’at (jil. 1, hlm. 390) di mana beliau menyatakan: Muhammad bin Nasir memberitahu kepada kami, katanya Abu Abdillah Muhammad bin Abu Nasr al-Humaidi memberitahu kepada kami, katanya, Abu Ali al-Hasan bin Abd ar-Rahman al-Ba’i memberitahu kepada kami, katanya Abu al-Qasim bin Muhammad al-Saqti memberitahu kepada kami, katanya: Uthman bin Ahmad al-Daqqaq memberitahu kepada kami, katanya Abdullah bin Sabit memberitahu kepada kami, katanya: Bapa saya memberitahu kepada kami daripada al-Huzail bin Habib daripada Abu Abdillah as-Samarqandi daripada Muhammad bin Kathir al-Kufi daripada al-Asbagh bin Nubatah, lalu beliau menyebut kisah di atas selanjutnya.

Menurut Ibn Jawzi, hadis ini tidak diragui lagi dari segi rekaannya. Hukuman yang dijatuhkan oleh Ibn Jawzi di atas, tidak dibantah oleh seorang pun dari kalangan ulama hadis terkemuka.

Kisah di atas juga terdapat dalam kitab Tanzih as-Syariah (jil. 1, hlm. 362 dan 363), kitab Al-Manaqib.

Hadis yang melibatkan kisah di atas adalah hadis mawduk. Hadis mawduk adalah sebuah hadis yang direka dan dicipta oleh orang tertentu. Dari segi kedudukan, ia merupakan hadis lemah yang paling lemah sekali, malah paling teruk. Haram meriwayatkannya apabila seseorang mengetahui tentang kedudukannya yang mawduk, baik yang melibatkan hukum-hakam, kisah, galakan mahupun lain-lain, kecuali jika dijelaskan kedudukan mawduknya itu, sebagaimana yang dinyatakan dalam at-Tahzib (jil. 1, hlm. 274).

RUJUKAN

Basri bin Ibrahim, Rohaizan bin Baru, & Abdul Wahid bin Salleh. (2015). Kisah-Kisah Lemah Yang Sewajarnya Dilihat Semula Oleh Para Penceramah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah House of Publisher Sdn Bhd.

MAKLUMAN

Hasil penyelidikan ini telah dimasukkan disini melalui Projek 60 Kisah-Kisah Lemah yang biayai oleh para dermawan melalui Tabung Pembangunan Koleksi Hadis, Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja-penaja dan warga tim semakhadis.com. Aamiin!