Kisah Abu Bakar Disengat Binatang Berbisa Dalam Gua Thur

Teks Bahasa Melayu

Ketika perjalanan keduanya berakhir pada gua Thur, Abu Bakar berkata: Demi Allah, janganlah tuan masuk terlebih dahulu, biarlah saya yang masuk dahulu. Sekiranya terdapat sesuatu di dalamnya, ia akan mengenai diri saya terlebih dahulu dan tidak akan mengenai diri tuan. Abu Bakar masuk ke dalam gua tersebut lalu membersihkannya. Pada salah satu sudut gua itu beliau menemui satu lubang, lantas beliau mengoyak kainnya dan menyumbat lubang tersebut. Kemudian di sudut yang lain ada lagi dua lubang yang tidak dapat ditutupnya, lantas beliau menutupnya dengan kedua kakinya. Setelah itu beliau berkata kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam: Silakan masuk, lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam masuk dan meletakkan kepala Baginda di atas riba Abu Bakar lalu tertidur. Dalam masa yang sama Abu Bakar radhiallahu ‘anhu telah disengat oleh binatang berbisa pada bahagian kakinya, namun beliau tetap tidak bergerak kerana bimbang Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam akan terkejut. Kerana kesakitan air matanya menitik ke atas muka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, lantas Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam terkejut, lalu bersabda: Apa yang berlaku kepada anda? Jawab Abu Bakar: Saya disengat binatang berbisa, saya rela menebus tuan dengan bapa dan ibu saya. Lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam meludah ke tempat Abu Bakar disengat binatang berbisa itu, lantas rasa sakit yang dialami oleh beliau hilang serta merta. (Al-Rahiq Al-Makhtum, hlm. 168)

Status

Palsu

Takhrij Hadis

Hadis yang memuatkan kisah di atas dikemukakan oleh al-Baihaqi dalam Dala’il an-Nubuwah (jil. 2, hlm. 476 dan 477). Ujar beliau: Abu al-Husain Ali bin Muhammad bin Abdullah bin Busyran al-Adli memberitahu kepada kami di Baghdad, katanya: Al-Faqih Ahmad bin Sulaiman al-Najjar memberitahu kepada kami secara bertulis, katanya: Dibaca kepada Yahya bin Jaafar dan ketika itu saya mendengar, katanya: Abd ar-Rahman bin Ibrahim al-Rasibi memberitahu kepada kami, katanya: Furat bin al-Sa’ib memberitahu kepada saya daripada Maimun bin Mahran daripada Dabbah bin Mihsan al-Anzi daripada Umar bin al-Khattab radhiallahu ‘anhu, lalu Umar mengemukakan kisah tersebut.

Analisis Kisah

Kisah di atas sebenarnya adalah suatu kisah yang direka atau mauduk. Penyakit yang terdapat pada di atas tertumpu kepada beberapa perawi yang meriwayatkannya:

Abd ar-Rahman bin Ibrahim al-Rasibi
  • Imam Az-Zahabi mengatakan Abd ar-Rahman bin Ibrahim ar-Rasibi meriwayatkan kisah di atas daripada Malik. Beliau mengemukakan kisah batil yang panjang lebar dan beliau sendiri dipertikaikan. Beliau juga meriwayatkan daripada Furat bin as-Sa’ib daripada Maimun bin Mahran daripada Dabbah bin Mihsan daripada Abu Musa. Ia menyerupai kisah yang direka cipta oleh ahli-ahli tarikat sufi (al-Mizan, jil. 2, hlm. 545, no. 4804)
  • Kenyataan Imam az-Zahabi di atas telah diperakui oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Lisan al-Mizan (jil. 3, hlm. 491) terjemahan (602/4953) dengan menegaskan ia menyerupai kisah yang direka cipta oleh ahli-ahli tarikat sufi.

Furat bin as-Sa’ib

  • Imam az-Zahabi mengemukakan Furat bin as-Sa’ib dalam al-Mizan (jil. 3, hlm. 341) terjemahan (6689) dengan mengatakan Furat bin as-Sa’ib meriwayatkan daripada Maimun bin Mahran.
    • Al-Bukhari mengatakan: Mungkar Hadis.
    • Ibn Ma’in pula mengatakan: tidak ada apa-apa yang boleh diambilkira.
    • Al-Daruqutni dan lain-lain mengatakan: Matruk
    • Ahmad bin Hanbal membuat penegasan yang hampir sama dengan yang dibuat oleh Muhammad bin Ziyad at-Tohhan tentang Maimun bin Mahran iaitu sebagai seorang yang dipertikaikan.

Kenyataan yang dikemukakan oleh az-Zahabi di atas turut diperakui oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Lisan al-Mizan (jil. 4, hlm. 503 dan 504) terjemahan (11/6522), seterusnya beliau mengatakan:

  • Abu Hatim mengatakan: Dia (Furat) meriwayatkan hadis lemah dan hadis mungkar.
  • Kata as-Saji: Ulama hadis meninggalkan riwayatnya.
  • Kata an-Nasa’i: Hadis riwayat beliau ditinggalkan orang (ad-Du’afak wa al-Matrukin; no. 488). Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, mazhab an-Nasa’i tidak meninggalkan hadis yang diriwayatkan oleh perawi terlibat sehingga semua ahli hadis bersepakat untuk meninggalkan hadis yang diriwayatkan oleh perawi tersebut (Syarah an-Nukhbah; hlm. 69).
  • Ibn Abi Hatim mengatakan: Daripada Yahya bin Ma’in, beliau mengatakan: Beliau (Furat) tidak ada apa-apa iaitu tidak boleh dipercayai (al-Jarh wa at-Ta’dil; jil. 3, hlm. 321, biodata no. 1439).

Di dalam Tarikh al-Kabir (jil. 7, hlm. 130), al-Bukhari menyatakan: Furat bin as-Sa’ib Abu Sulaiman meriwayatkan dari Maimun bin Mahran. Ulama hadis meninggalkan riwayat beliau kerana beliau meriwayatkan hadis mungkar.

Imam as-Suyuti menyebut dalam Tadrib (jil. 1, hlm. 349) antara lain: al-Bukhari menggunakan istilah mungkar hadis kepada perawi yang tidak halal meriwayatkan hadis daripadanya.

Kesimpulan

Dengan tahqiq di atas berhubung dengan perawi yang bernama Furat, jelaslah apa yang dikemukakan oleh Ibn Hibban dalam al-Majruhin (jil. 2, hlm. 207) yang menegaskan antara lain: Al-Furat bin as-Sa’ib al-Jazri meriwayatkan daripada Maimun bin Mahran. Beliau adalah antara perawi yang meriwayatkan pelbagai hadis palsu daripada perawi-perawi yang mantap dan mengemukakan pelbagai hadis bermasalah daripada perawi-perawi yang dipercayai, tidak harus berhujah mahupun meriwayatkan daripadanya, malah tidak harus menulis hadisnya kecuali dengan tujuan untuk menguji para penuntut ilmu hadis sahaja.

Rujukan

  1. ad-Du’afak wa al-Matrukin, no. 488
  2. al-Jarh wa at-Ta’dil, jil. 3, hlm. 321, no. 1439
  3. al-Majruhin, jil. 2, hlm. 207
  4. al-Mizan, jil. 3, hlm. 341, no. 6689 & jil. 2, hlm. 545, no. 4804
  5. Al-Rahiq Al-Makhtum, hlm. 168
  6. Dala’il an-Nubuwah, jil. 2, hlm. 476 dan 477
  7. Lisan al-Mizan, jil. 3, hlm. 491, no. (602/4953) & jil. 4, hlm. 503 dan 504, no. (11/6522)
  8. Syarah an-Nukhbah, hlm. 69
  9. Tadrib, jil. 1, hlm. 349
  10. Tarikh al-Kabir, jil. 7, hlm. 130

Sumber

Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim and Prof. Madya Dr. Rohaizan bin Baru and Ustaz Abdul Wahid bin Salleh (2015) KISAH-KISAH LEMAH YANG SEWAJARNYA DILIHAT SEMULA OLEH PARA PENCERAMAH. AL-HIDAYAH HOUSE OF PUBLISHER SDN BHD, K. LUMPUR. ISBN 9789674392246

Nota:

Baca Kisah Sebenar & beberapa poin-poin penting lain dalam buku di atas.