Janganlah berasa malu seseorang tua mempelajari ilmu dari orang muda

عن مكحول، قال: قال رسول الله, صلى الله عليه وسلم: “لا يستحي الشيخ أن يتعلم من الشباب”

Terjemahan Hadith

Dari Makhul berkata bersabda Rasulullah SAW : Janganlah berasa malu seseorang tua mempelajari ilmu dari orang muda.

Analisis Hadith

a) Analisis dari aspek sanad

Ibn ‘Abd al-Bar tidak memberikan sebarang ulasan mengenai kedudukan hadith ini dari sudut sanadnya. Namun begitu, hadith ini dikategorikan sebagai hadith da‘if kerana dua sebab utama:

  1. Keda‘ifan Abu ‘Uthman al-Qurashi dan namanya ialah al-Walid bin Abi al-Walid dan Ibn Hajar menyifatkanya sebagai waham¹.
  2. Terdapat padanya irsal² iaitu Makhul merupakan tabiin dan beliau menyandarkan hadith tersebut kepada Rasulullah SAW dan hadith mursal dari kategori hadith yang da‘if .
b) Analisis dari aspek matan

Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn ‘Abd al-Bar di dalam Bab Fadl al-Ta‘allum fi al-Sighar wa al-Haddu ‘alayh. Setakat kajian penulis hadith dengan lafaz ini hanya diriwayatkan oleh Ibn ‘Abd al-Bar sahaja. Hadith da‘if bukanlah merupakan sumber hujah di dalam menentukan apa-apa hukum.

Namun begitu, maknanya boleh diambil kira sekiranya tidak bertentangan dengan kaedah umum agama. Oleh itu, mengikut sejarah para sahabat ramai sahabat yang muda menjadi jaguh di dalam ilmu agama sehingga menjadi rujukan kepada sahabat yang lain.

Umpamanya ‘Abdullah bin ‘Umar merupakan jaguh di dalam bidang hadith. Ibn ‘Abbas merupakan jaguh di dalam bidang tafsir sehingga digelar sebagai penterjemah al-Qur’an. Sayyidatina ‘A’ishah merupakan pakar dalam bidang hadith dari segi dirayahnya sehingga ia pernah menegur ‘Umar dan Ibn ‘Umar dalam masalah mayat diazab disebabkan tangisan ahli keluarganya.

Kesemua ini membuktikan bahawasanya tidak menjadi kesalahan sekiranya seseorang itu mengambil ilmu daripada orang yang lebih muda. Kerana dalam dunia pembelajaran moden penukaran maklumat boleh berlaku pada setiap tempat dan masa tanpa mengira taraf umur dan budaya.

Sebab itu, Allah SWT berfirman didalam al-Qur’an mengenai perolehan ilmu daripada orang yang berilmu secara umum tanpa meletakkan had umur kerana ilmu itu bersifat subjektif dan ia dapat digarapkan berdasarkan kepintaran seseorang. Berkata Ibnu Salah mengenai kepintaran seseorang dan menetapkan usia minima untuk menerima hadith atau tahammul :

Menghadkan pada usia lima tahun adalah amalan ahli hadith terkemudian dan mereka menulis dengan lafaz sama‘ untuk orang yang telah mencapai usia lima belas tahun dan keatas dan untuk sesiapa yang belum menjangkaui usia lima tahun dengan lafaz hadir atau dibawa hadir.

Dan di sini perlulah diingatkan setiap budak yang masih kecil mempunyai keupayaan yang berbeza sekiranya didapati akal mereka menjangkaui batasan biasa seperti memahami khitab dan menjawab pertanyaan dengan baik kita menerima pendengarannya (tahammul) sekalipun umurnya belum menjangkaui lima tahun sekiranya berlaku sebaliknya kita tidak akan menerima pendengarannya sekalipun telah mencapai umur lima tahun bahkan lima puluh tahun.

Justeru, antara sifat yang perlu dimiliki oleh pencinta ilmu ialah mengambil ilmu itu dari mana sumbernya sekiranya ianya benar dan mengikis sifat sombong dan tidak mahu mengambil ilmu dari orang yang lebih muda usianya. Hal ini dapat difahami melalui keratan hadith di atas iaitu لا يستحي الشيخ أن يتعلم من الشاب.

Kesimpulan

Hadith ini dikategorikan sebagai hadith da‘if (lemah) atas faktor yang disebutkan di atas. Sebagai konklusinya, adab pembelajaran yang boleh diambil dari maksud hadith di atas sebagai kata hikmah ialah janganlah malu untuk belajar dari orang yang lebih muda dari kita.

Sumber

Adab-adab pengajaran dan pembelajaran menurut Ibn ‘Abd Al-Bar : kajian hadith-hadith pilihan dalam Jami’ bayan al-‘ilm wa fadlih / Abdul Malik Isa (Tesis Master, USM)


  1. Waham: selalu melakukan kesilapan dalam meriwayatkan hadith
  2. Irsal: rangkaian sanad (perawi-perawi) terputus pada peringkat sahabat. Seorang Tabi’in meriwayatkan terus dari Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam.