Jangan kamu mendekati fitnah (kekacauan) apabila ia sedang bergolak

TEKS BAHASA ARAB

لَا تَقْرُبُوا الْفِتْنَةَ إِذَا حَمِيَتْ وَلَا تَعَرَّضُوا لَهَا إِذَا أعْرَضَتْ، وَأَضْرِبُوا إِذَا أَقْبَلَتْ

TEKS BAHASA MALAYSIA

“Jangan kamu mendekati fitnah (kekacauan) apabila ia sedang bergolak, dan janganlah kamu mencetuskannya apabila ia berlalu, dan bersabarlah apabila ia mula muncul.”)

STATUS

Terlalu lemah

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Kajian telah dijalankan oleh pihak Pseudo Hadis. kata mereka:

HADIS PALSU DAN LEMAH DI MEJA PENCERAMAH
SIRI 46

Pendirian Semasa Krisis

Penceramah: Tuan Ibrahim Tuan Man

Sumber video:Minit 30:17 https://www.youtube.com/watch…

TEKS HADIS

Nabi SAW bersabda:

لَا تَقْرُبُوا الْفِتْنَةَ إِذَا حَمِيَتْ وَلَا تَعَرَّضُوا لَهَا إِذَا أعْرَضَتْ، وَأَضْرِبُوا إِذَا أَقْبَلَتْ

“Jangan kamu mendekati fitnah (kekacauan) apabila ia sedang bergolak, dan janganlah kamu mencetuskannya apabila ia berlalu, dan bersabarlah apabila ia mula muncul.”

SUMBER DAN PENILAIAN HADIS

Hadis diriwayatkan oleh Nu’aym bin Ḥammād dalam kitabnya, al-Fitan (no. 347), beliau berkata: telah menceritakan kepada kami Baqiyyah bin al-Walid dan al-Ḥakam bin Nāfi’ daripada Sa’īd bin Sinān, beliau berkata, telah menceritakan kepadaku Abū al-Zāhiriyyah, daripada Jubayr bin Nufayr, daripada Ibn ‘Umar RA secara marfū’.

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Abū Nu’aym al-Asbahāni [Ḥilyat al-Awliyā’, no. 8100] dengan sanadnya daripada Baqiyyah daripada Sa;id bin Sinān daripada Abū al-Zahiriyyah daripada Abū al-Dardā’ RA secara marfū’.

Abū Bakr al-Haythamī menukilkan hadis ini dalam Majmā’ al-Zawāid, dan menyandarkannya kepada al-Ṭābrānī menerusi riwayat Abū al-Dardā’ RA, tanpa memberikan sebarang komentar [Majma’ al-Zawāid, 7: 305]. Namun, penulis tidak menjumpai hadis ini dalam ketiga-tiga Mu’jam, karya al-Ṭābrānī.

PENILAIAN HADIS

Taraf hadis menerusi kedua-dua riwayat adalah TERLALU LEMAH, dan hampir mencecah taraf palsu. Faktor kelemahannya adalah seperti berikut;

1. Penulis kitab al-Fitan, Nu’aym bin Hammād seorang imam Ahli Sunnah, namun beliau daif dalam hadis kerana faktor hafalan dan kekeliruan dan banyak meriwayatkan hadis-hadis munkar dan palsu.

Al-Nasa’I berkata: “Dia (Nu’aym) tidak thiqah. (dalam hadis)” [Tahzhib al-Tahzhib 10/ 461].

Al-Nasa’ī berkata: “Dia banyak bersendirian (dalam meriwayatkan hadis) daripada para imam. Justeru, dia tergolong dalam kalangan mereka yang tidak boleh dijadikan hujah.” [Mizan al-I’tidal, 4: 268]

Menurut al-Dhahabi, Nu’aym bin Ḥammad seorang munkar al-hadith. [Mukhtaṣar Istidrāk al-Dhahabi, 7: 3416].

2. Kitab al-Fitan banyak mengandungi riwayat yang ganjil, munkar dan palsu.

Al-Dhahabi berkata, “Tidak wajar bagi sesiapapun untuk menjadikan dia (Nu’aym) sebagai hujah. Dia telah menulis kitab al-Fitan. Dia mendatangkan riwayat-riwayat yang aneh dan munkar.” [Siyar A’lam al-Nubala’ 10/ 609].

3. Baqiyyah bin al-Walid adalah seorang mudallis. Kritikan ini lebih serius jika didapati dia meriwayatkan daripada perawi yang daif, seperti yang dinyatakan oleh Abū Ahmad al-Ḥākim, Abū Isḥāq al-Fazārī, Abū Zur’ah al-Rāzī, Aḥmād bin Ḥanbal, Yaḥyā bin Ma’īn, al-Daraquṭnī dan lain-lain.

Al-Bayhaqī berkata, “Mereka (ahli hadis) bersepakat bahawa Baqiyyah tidak boleh dijadikan hujah.” Dalam riwayat ini, gurunya adalah Sa’īd bin Sinan, seorang perawi yang matruk.

4. Sa’id bin Sinān Abū al-Mahdī al-Himṣī adalah perawi yang sangat lemah hafalannya, dinilai sebagai matruk, munkar al-hadith oleh kebanyakan ahli hadis, seperti Imam Aḥmad, Yaḥyā bin Ma’īn, al-Nasā’ī dan lain-lain. Malah al-Daraquṭni mengtakan dia adalah pemalsu hadis. [Mizan al-I’tidāl, 2: 143].

Ibn ‘Adiy berkata, “Kebanyakan riwayatnya tidak maḥfūz (ganjil), khususnya riwayatnya daripada Abū al-Zāhiriyyah.” [al-Kāmil, 3: 361]. Hadis ini termasuk daripada riwayat Sa;īd bin Sinan daripada Abū al-Zāhiriyyah.

KESIMPULAN

Hadis ini adalah TERLALU LEMAH, bahkan boleh menghampiri palsu jika sabit penilaian al-Daraquṭni terhadap Sa’īd bin Sinān al-Himṣī sebagai pemalsu hadith.

Bukan maksud “fitnah” yang dinyatakan dalam hadis, tuduh tanpa bukti, tetapi kekacauan, perselisihan, peperangan dan seumpama dengannya.

Sementara itu, masih banyak lagi hadis-hadis sahih yang mencegah seseorang Muslim terlibat dalam fitnah, huru-hara dan krisis. Hadis-hadis palsu dan lemah perlu dibersihkan daripada disebarkan kepada umum, sama ada di pentas ceramah agama atau politik kepartian.

RUJUKAN

1. Al-Aṣbahānī, Abu Nu’āym Aḥmad bin ‘Abd Allāh, Ḥilyat al-Awliyā’ wa Ṭabaqāt al-Aṣfiyā’ (Beirut: Dār al-Kitāb al-‘Arabiy, 1405 H) 6: 101.

2. Al-‘Asqalānī, Ibn Ḥajar Abū al-Faḍl Aḥmad bin ‘Ali, Tahdhīb al-Tahdhīb (Beirut: Dār al-Fikr, 1984)

3. Al-Dhahabī, Abū ‘Abd Allāh Shams al-Dīn Aḥmad bin Muḥammad bin ‘Ūthmān, Siyar A’lām al-Nubalā ed. Sh’ayab al-Arnāuṭ (Beirut: Muassasat al-Risālah, 1985).

4. Al-Dhahabī, Abū ‘Abd Allāh Shams al-Dīn Aḥmad bin Muḥammad bin ‘Ūthmān, Mizān al-I’tidāl fī Naqd al-Rijāl ed. ‘Ali Muḥammad al-Bajāwī (Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1963).

5. Al-Marwazī, Abū Abdillāh Nu’aym bin Ḥammād, Kitāb al-Fitan ed. Samīr bin Amīn al-Zahīrī (Kaherah: Maktabat al-Tawhīd, 1991).

6. Ibn ‘Adiyy, Abū Aḥmad ‘Abd Allāh bin ‘Adiy al-Jurjānī, al-Kāmil fī Ḍuafā’ al-Rijāl ed. Yaḥyā Mukhtār Ghazāwī (Beirut: Dar al-Fikr, 1988)

RUJUKAN
MAKLUMAN

Maklumat ini merupakan hasil kerja pasukan sukarelawan Semakhadis.com untuk memasukkan hasil penyelidikan yang dijalankan oleh Pasukan Penyelidik, Pseudo Hadis. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat mereka. Aamiin! Ingin jadi sukarelawan semakhadis.com? Hubungi kami di admin@semakhadis.com.