Syaitan Menangis Jika Pemuda Kahwin Awal

 

Teks Bahasa Arab

أيما شاب تزوج في حداثة سنه عج شيطانه: يا ويله يا ويله عصم مني دينه

Teks Bahasa Melayu

Barang siapa di antara remaja berkahwin dalam usia muda, maka menangislah syaitan. Dan ia (syaitan) mengeluh, “Aduh celaka aku, agamanya telah dipelihara dari godaanku.”

HR Ibnu ‘Addi

Status

Hadis Palsu

Ulasan Pengkaji Hadis

Hadis ini diriwayatkan dengan lafaz:

” أيما شاب تزوج في حداثة سنه عج شيطانه: يا ويله يا ويله عصم مني دينه “

Maksudnya: Mana-mana pemuda yang berkahwin pada awal umurnya maka menjeritlah syaitan (dengan berkata): celaka dia, celaka dia. Terpelihara daripadaku agamanya.

 

Hadis ini diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah dari jalur Salih Maula al-Tau’amah. Terdapat 2 perawi yang meriwayatkan dari Salih:

 

1.     Khalid bin Ismail al-Makhzumi meriwayatkan dari Ubaidillah bin Umar dari Salih dari Jabir. (HR Abu Ya’la dalam Musnadnya no. hadis: 2041, al-Tabarani dalam al-Awsat no hadis: 4475, Ibn Adiy dalam al-Kamil no perawi: 600, Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq no. perawi: 3147, al-Khatib al-Baghdadi dalam tarikh Baghdad no. perawi: 4033, Ibn al-Jauzi dalam Zamm al-Hawa hlm. 281) Jalur ini palsu kerana Khalid bin Ismail adalah pendusta. Berikut komentar ulama hadis terhadap beliau:

i.      Kata Ibn Hibban: Tidak boleh berhujah dengan hadisnya dalam apa-apa keadaan.

ii.      Kata al-Daraqutni: Perawi yang ditinggalkan

iii.      Kata Ibn Adiy: beliau memalsukan hadis dan menyandarkannya kepada perawi tsiqat.

iv.      al-Zahabi menyimpulkan beliau sebagai pendusta.

(Rujuk: al-Kamil, jld. 3, hlm. 43, Mizan al-I’tidal, jld. 1, hlm. 627, Lisan al-Mizan, jld. 7, hlm. 121)

 

2.     Muhammad bin Ishaq al-Asy’ari al-Sini meriwayatkan dari Abdul Rahman bin Abdul Aziz al-Ansari dari  ‘Ismah bin Muhammad bin Ubaidillah bin Umar meriwayatkan dari Salih dari Jabir. (HR Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq no perawi: 8169) Komentar terhadap sanad ini seperti berikut:

i.      Status ‘Ismah bin Muhammad bin Ubaidillah bin Umar: Saya tidak menjumpai ulama al-Jarh wa al-Taadil berbicara tentang status ‘Ismah ini. Tetapi al-Albani menyatakan bahawa ‘Ismah ini ialah ‘Ismah bin Muhammad bin Fudhalah dan beliau juga pendusta. (Rujuk: Silsilah Da’ifah, jld. 2, hlm. 114) Tetapi saya beranggapan al-Albani telah keliru kerana beliau bukan ‘Ismah bin Muhammad bin Fudhalah. Buktinya ‘Ismah bin Muhammad bin Fudhalah tidak meriwayatkan hadis dari Salih Maula al-Tau’amah.

ii.      Status Muhammad bin Ishaq al-Sini. Beliau adalah pendusta hadis. (Lihat: Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Taadil, jld. 7, hlm. 196, al-Zahabi, Tarikh al-Islam, jld. 6, hlm. 140)

 

Kesimpulannya: Hadis ini palsu kerana kesemua jalurnya mengandungi perawi pendusta. Maka berhentilah menyebarkannya kecuali untuk menyatakan ia adalah palsu. Sabda Nabi sallallah ‘alaih wasallam: “Sesiapa yang mendustakan aku secara sengaja, maka tunggulah tempatnya di neraka”. Wallahua’lam.

 

Rujukan

  1. al-Kamil, jld. 3, hlm. 43
  2. Mizan al-I’tidal, jld. 1, hlm. 627
  3. Lisan al-Mizan, jld. 7, hlm. 121
  4. Silsilah Da’ifah, jld. 2, hlm. 114
  5. Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Taadil, jld. 7, hlm. 196
  6. al-Zahabi, Tarikh al-Islam, jld. 6, hlm. 140

Sumber

Kajian Dr Rozaimi