Berilah luban kepada isteri kamu yang sedang mengandung

TEKS BAHASA ARAB

أَطْعِمُوْا نِسَائَكُمْ الْحَوَامِلَ اللُّبَانَ فَإِنَّهُ يَزِيْد فِيْ عَقْلِ الصَّبِيّ

TEKS BAHASA MALAYSIA

Berilah luban kepada isteri kamu yang sedang mengandung kerana itu dapat mencerdaskan aqal bayi yang sedang dikandungnya itu

STATUS

Hadis Palsu

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Berikut adalah soaljawab Irsyad Al-Hadith dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,

Soalan: Apakah status hadith ini?

  • Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

 

أَطْعِمُوْا نِسَائَكُمْ الْحَوَامِلَ اللُّبَانَ فَإِنَّهُ يَزِيْد فِيْ عَقْلِ الصَّبِيّ

Maksudnya:“ Berilah luban kepada isteri kamu yang sedang mengandung kerana itu dapat mencerdaskan aqal bayi yang sedang dikandungnya itu”.

 

Jawapan :

Berdasarkan soalan di atas, hadith tersebut terdapat di dalam kitab Firdaus al-Akhbar atau dikenali sebagai Musnad al-Firdaus yang dikarang oleh Imam al-Dailami. Dikatakan hadith diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Walaubagaimanapun, di dalam sanad tersebut terdapat seorang perawi bernama Muhammad bin Ukasyah.

Tambahan pula, Ibn Iraq al-Kinani mengatakan riwayat Muhammad bin Ukasyah al-Kurmani adalah seorang pendusta besar. Selain itu juga, Imam al-Hakim dan al-Daraquthni mengatakan Muhammad bin Ukasyah adalah seorang yang memalsukan hadith. [Lihat: Tanzih al-Syariah, 110/1]

Di samping itu, Ibn Iraq al-Kinani mendatang sebuah hadith yang mempunyai persamaan dengan hadith di atas dan hadith ini adalah palsu kerana ia juga diriwayatkan melalui jalur Muhammad bin Ukasayah al-Kurmani. Hadith tersebut adalah:

أَطْعِمُوا حُبَالاكُمُ اللُّبَانَ فَإِنْ يَكُنْ مَا فِي بَطْنِ الْمَرْأَةِ غُلامًا خَرَجَ عَالِمًا شُجَاعًا ذَكِيَّ الْقَلْبِ سَخِيًّا

Maksudnya: “Berikanlah luban kepada isteri kamu yang sedang mengandung. Jika bayi yang dikandungnya itu lelaki, maka anak lelaki tersebut akan menjadi seorang yang alim, berani dan cerdas hati serta pemurah”. [Lihat: Tanzih al-Syariah, 361/2]

Selain Ibn Iraq yang menilai hadith ini sebagai palsu, Ibn Asakir juga menilai hadith ini sebagai munkar[Lihat: Tarikh Dimashq, 229/54]

Penutup

Kesimpulannya, amalan memakan luban ini merupakan amalan para salaf soleh terdahulu. Ini kerana, berdasarkan pengalaman dan amalan mereka bahawa luban ini dapat menguatkan ingatan dan ia juga mempunyai khasiat yang lain. Akhirnya, mengenalpasti akan kesahihan status sebuah hadith adalah penting kerana Nabi SAW telah mengancam terhadap orang-orang yang melakukan pendustaan terhadapnya dan juga hadithnya. Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَعَمَّدَ عَلَيَّ كَذِبًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksdunya: “Barangsiapa yang sengaja berkata-kata dusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di neraka”. [Muttafaqun ‘Alaih] [al-Bukhari (108) dan Muslim (2)]

RUJUKAN
MAKLUMAN

Maklumat ini merupakan hasil kerja pasukan sukarelawan Semakhadis.com untuk memasukkan hasil penyelidikan hadis yang dijalankan oleh Pasukan Penyelidik, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat mereka. Aamiin! Ingin jadi sukarelawan semakhadis.com? Hubungi kami di admin@semakhadis.com