Barang siapa yang mengucap Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT, maka dia adalah seorang pendakwah

Barang siapa yang mengucap Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT, maka dia adalah seorang pendakwah

Soalan :

Apakah status hadis “Barang siapa yang mengucap Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT, maka dia adalah seorang pendakwah” ?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Berdasarkan status hadis yang ditanya, hadis tersebut begitu masyhur dan sering kita mendengarnya apabila kita menyertai program-program yang melibatkan dakwah. Untuk itu, kami menjawab, setelah kami melakukan penelitian terhadap kitab-kitab yang menghimpunkan teks-teks hadis, kami tidak menjumpai hadis seperti berikut. Untuk itu, hukum atau status hadis tersebut tiada asalnya dan kita tidak boleh sama sekali menyandarkannya kepada Nabi SAW dan menyebarkannya.

Walaubagaimanapun, tidak dinafikan bahawa dakwah merupakan sebuah kerja yang mulia dan amat besar ganjaran di sisi Allah SWT. Setiap muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT perlulah menyeru kepada yang ma’ruf dan mencegah kepada perkara yang mungkar. Berdasarkan firman Allah SWT :

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ

Maksudnya : “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”. [Ali-Imran : 110]

Ibn Kathir menyatakan dalam menafsirkan ayat ini bahawa Allah SWT mengkhabarkan kepada umat Muhammad bahawa mereka adalah sebaik-baik umat. Disebabkan itu Allah SWT berfirman “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia”. Ini bersesuaian dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda :

قال : خيرَ الناسِ للناسِ، تأتون بهم في السلاسِلِ في أعناقِهم، حتى يَدخُلوا في الإسلامِ

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia bagi manusia adalah kalian membawa mereka dalam keadaan leher mereka dirantai sehingga mereka memasuki Islam”.

Hadis riwayat al-Bukhari (4191) dalam Sahih al-Bukhari, Kitab Tafsir, Bab Surah al-Imran ayat 110.

Daripada hadis ini, dapat difahami bahawa sebaikbaik manusia adalah orang yang sentiasa memberi manfaat kepada orang lain. Antaranya dengan menyeru mereka kepada kebaikan dan mencegah mereka daripada keburukan.

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya : “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)”. [Fussilat : 33]

Di dalam Tafsir al-Sa’di, makna orang yang menyeru kepada kepada Allah SWT mempunyai banyak maksud, antaranya:

  • Mengajar orang-orang yang jahil.
  • Memberi peringatan kepada orang yang lalai.
  • Berdebat dengan orang-orang yang bathil.
  • Menyeru kepada ibadat kepada Allah SWT dengan apa jua cara serta menggalakkan dan memperbaiki manusia dalam beribadat sekadar yang mampu.
  • Menghalang diri daripada perkara yang Allah SWT larang.

Ini semua jelas menunjukkan bahawa kepentingan dakwah dan tujuan Allah SWT menjadikan kita sebagai umat yang terbaik antara umat-umat terdahulu. Di samping itu, di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abi Mas’ud al-Ansari bahawa Nabi SAW bersabda :

مَن دَلَّ على خيرٍ فله مثلُ أجرِ فاعلِه

Maksudnya : “Barangsiapa yang membawa kepada kebaikan maka baginya pahala seperti orang yang melakukannya”. Hadis riwayat Muslim (3509) dalam Sahih Muslim, Kitab kepimpinan, Bab keutamaan membantu Mujahid di Jalan Allah SWT.

Rujukan

Irsyad al-Hadith Siri ke-28 : Status hadis “Barang siapa yang mengucap Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT, maka dia adalah seorang pendakwah”.