Aku akan mengajar kamu tentang wuduk

Teks Bahasa Arab

عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال : دخلت على رسول الله صلى الله عليه وسلم وبين يديه إناء ماء فقال لي : ” يا أنس ادن مني أعلمك مقادير الوضوء فدنوت فلما أن غسل يديه قال : بسم الله والحمد لله ولا حول ولا قوة إلا بالله ؛ فلما استنجى قال : اللهم حصن فرجي ويسر لي أمري ؛ فلما توضأ واستنشق قال : اللهم لقني حجتي ولا تحرمني رائحة الجنة ؛ فلما غسل وجهه قال : اللهم بيض وجهي يوم تبيض وجوه ؛ فلما أن غسل ذراعيه قال : اللهم أعطني كتابي بيميني ؛ فلما أن مسح يده على رأسه قال : اللهم أغثنا برحمتك وجنبنا عذابك ؛ فلما أن غسل قدميه قال : اللهم ثبت قدمي يوم تزل فيه الأقدام ثم قال : والذي بعثني بالحق يا أنس ما من عبد قالها عند وضوئه لم تقطر من خلل أصابعه قطرة إلا خلق الله تعالى ملكا يسبح الله بسبعين لسانا يكون ثواب ذلك التسبيح إلى يوم القيامة ” .

Teks Bahasa Melayu

Daripada Anas katanya: “Aku masuk berjumpa Rasulullah -salla Allahu ‘alaihi wa sallam- dan di tangan baginda ada satu bekas yang berisi air. Rasulullah -salla Allahu ‘alaihi wa sallam- berkata kepadaku: ‘Wahai Anas!, datanglah dekat kepadaku. Aku akan mengajar kamu tentang wuduk.’ Lalu aku pun menghampiri Rasulullah -salla Allahu ‘alaihi wa sallam-, maka ketika baginda membasuh kedua-dua pergelangan tangannya, baginda berkata: ‘Dengan nama Allah dan segala puji bagi Allah, tiada daya upaya dan kekuatan melainkan Allah.” Ketika beristinja’, baginda berkata: ‘Ya Allah, peliharalah kemaluanku dan permudahkanlah urusanku.’ Ketika berkumur-kumur dan memasukkan air ke hidung, baginda berkata: ‘Ya Allah, ajarkanlah aku menyebut hujahku dan janganlah Engkau haramkan diriku daripada haruman bau syurga.’ Ketika membasuh mukanya, baginda berkata: ‘Ya Allah, putihkanlah wajahku pada hari diputihkan wajah-wajah yang lain (pada hari kiamat).’ Ketika membasuh kedua-dua tangan hingga ke sikunya, baginda berkata: ‘Ya Allah, berikanlah kitab amalanku di tangan kananku.’ Ketika baginda menyapu tangan di atas kepalanya, baginda berkata: ‘ Ya Allah, hidupkanlah kami dengan rahmat-Mu dan jauhkanlah kami azab-Mu.’ Ketika membasuh kedua-dua kakinya baginda berkata: ‘ Ya Allah, tetapkanlah tapak kakiku pada hari bergoncangya tapak-tapak yang lain (pada hari Kiamat).’ Kemudian Rasulullah -salla Allahu ‘alaihi wa sallam- berkata: “Demi (Tuhan) yang mengutuskan aku dengan benar! Wahai Anas, tidaklah mana-mana hamba pun yang membacanya (doa-doa tersebut) ketika mengambil wuduk, tidak menitik daripada jari-jarinya setitik air pun, kecuali Allah -Ta’ala- akan menciptakan malaikat yang akan bertasbih kepada Allah dengan tujuh puluh lidah. Ganjaran pahala tasbih tersebut adalah untuknya sehinggalah hari kiamat.”

Perawi

Anas bin Malik

Ulasan Pengkaji Hadis

Dalam sanad hadis ini ada pelapor yang bernama: `Ubbad bin Suhaib. Menurut Ibn Hibban, hadis yang disampaikan oleh `Ubbad bin Suhaib adalah dusta dan palsu. Ibn Hibban berkata:

“Beliau melaporkan hadis mungkar yang dapat dipastikan yang adalah palsu.”

Pendapat Ibn Hibban ini boleh didapati dalam kitab Tanzih al-Syariah oleh Ibn Arraq al-Kannani dan kitab al-‘Illal al-Mutanahiyah fi Ahadith al- Wahiyah oleh Ibn al-Jauzi.

Ibnu al – Jauzi dalam kitabnya al-‘Illal al-Mutanahiyah menyatakan hadis ini tidak sahih daripada Rasulullah -salla Allahu ‘alaihi wa sallam-.

Imam an – Nawawi juga menyatakan tentang kebatilan hadis ini. Dalam kitab al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, beliau menyebut:

“Aku sudah membuang doa membasuh anggota-anggota wuduk kerana tidak ada asal sumbernya.”

Kata-kata Imam An-Nawawi ini juga disebutkan oleh Ibn Arraq al-Kannani dalam kitabnya Tanzih al-Syariah.

Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam kitabnya Zad al-Ma’ad berkata:

“Tidak dinukilkan daripada Nabi Muhammad -salla Allahu ‘alaihi wa sallam- bahawa baginda berdoa dalam wuduknya dengan satu doa pun selain Basmalah (membaca Bismillah). Setiap hadis, tentang zikir-zikir semasa wuduk yang disebutkan, didalamnya adalah dusta dan tidak pernah di ajarkan oleh Rasulullah -salla Allahu ‘alaihi wa sallam-. Tidak sahih dari baginda melainkan bacaan tasmiyah (bismillah) pada awalnya dan doa selepas wuduk.”

Rujukan

Untuk maklumat lebih lanjut sila rujuk buku 40 Hadis Palsu Popular